Pasukan bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
KUALA TERENGGANU - Dua penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dijadualkan mendaftar hari ini, turut menjadi mangsa dalam kebakaran apabila rumah sewa mereka di Taman Perumahan Wakaf Tengah, Batu Rakit, terbakar.
Nurfarahin Musanip, 21, yang berasal dari Johor berkata, ketika kejadian, dia dan ahli keluarganya yang datang, sedang berehat di rumah sebelum mendengar bunyi bising dari luar.
“Saya rasa pelik sebab bunyi bising dan seakan letupan. Saya kemudiannya keluar rumah dan melihat jiran-jiran bising sambil menyebut kebakaran. Saya secara spontan, menyebut api..api..api.. dan ahli keluarga lain keluar menyelamatkan diri.
“Saya sempat mencapai barangan penting sebelum menyelamatkan diri kerana bimbang jika leka, api marak dengan cepat. Mujurlah ada ahli keluarga yang datang, jika tidak tentu saya hilang punca,” katanya.
Dia yang merupakan penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di UMT berkata, turut menjadi mangsa ialah rakan serumahnya Fatin Zafirah Anuar, 20, penuntut Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam di tahun dua.
Menurut Nurfarahin, banyak barangannya seperti buku dan barangan keperluan yang terbakar dan rosak akibat kebakaran itu.
Adun kumpul maklumat
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh ketika ditemui berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat berkaitan bagi tindakan susulan.
“Saya difahamkan yang terlibat (mangsa) ada yang menyewa dan pemilik rumah. Mereka ini kita sedang ambil catatan kedudukan dan sebagainya. Kalau mereka ada tempat untuk tinggal sementara, itu lebih baik.
“Cuma kalau mereka tiada tempat tinggal, kita akan usahakan tempat tinggal sementara di pusat latihan jabatan agama yang terletak berhampiran,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Ramli berkata, Umno Bahagian Kuala Nerus akan membuat kutipan derma serta-merta bagi membantu keluarga terlibat.
“Kita merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa. Saya sudah hubungi pihak JKM untuk memberikan bantuan dan akan meneliti laporan bomba jika perlu untuk bantuan baik pulih rumah dan sebagainya. Cuma saya harap mereka bersabar dengan ujian ini,” katanya.
Tiga Adun bergegas ke lokasi kejadian
Kejadian kebakaran itu berlaku ketika berlangsungnya persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di kawasan berhampiran dan Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Mohamad Nasir Ibrahim Fikri serta tiga Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) lain bergegas ke tempat kejadian.
Mohamad Nasir bersama tiga Adun tersebut, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir), Mohamad Ramli Nuh (Tepoh) dan Datuk Abdul Rahin Mohd Sains (Teluk Pasu) merupakan antara mereka yang terawal melawat kejadian.
Ahmad Razif yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri menghulurkan bantuan segera RM1,000 kepada empat pelajar UMT yang terlibat.