GARA-GARA kehilangan jam tangan kesayangan jenama Tissot model PRC100 awal tahun ini, A'zali Atan, 57, tekad untuk mencari semula model jam yang sama dengan 'menjelajah' setiap kedai jam di Johor Bahru, Johor.
Setelah hampir sebulan berusaha, beliau bersyukur kerana berjaya menemuinya di sebuah kedai jam, TCL Gold Time Enterprise (TCL) yang terletak di pusat beli-belah, Plaza Pelangi dengan harga RM1,100 pada 15 Mac lalu.
Malangnya, tidak lama selepas itu, beliau mendapati jam tangan tersebut adalah produk tiruan manakala sebuah lagi jam tulen, model Tissot PRS200 berharga RM1,400 tidak mempunyai kad jaminan yang sah daripada pembekal.
A'zali yang tidak berpuas hati dengan masalah itu kemudian mengadukan permasalahan itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru bagi menuntut wangnya yang berjumlah RM2,500 dikembalikan.
Menurut pesara Petronas itu, status jam tersebut diketahui selepas secara kebetulan bertemu dengan bekas pekerja TCL yang mendakwa syarikat itu pernah dilucutkan kelayakan sebagai pengedar sah selepas didapati bersalah menjual produk tiruan hujung tahun lalu.
''Bekas pekerja kedai itu ditemui ketika saya mengunjungi sebuah lagi kedai jam tempat dia bekerja sekarang di pusat beli-belah AEON Tebrau, beberapa hari selepas membeli jam ini.
''Keesokannya, saya terus mendapatkan pengesahan daripada Swatch Group yang berpangkalan di Kuala Lumpur selaku pembekal jam berkenaan dan mereka mengesahkan bahawa dakwaan bekas pekerja itu adalah benar,'' kata pengumpul koleksi jam berjenama itu.
Semasa prosiding di hadapan Presiden TTPM, Quaik Chong Yu baru-baru ini, TCL diwakili oleh pemiliknya yang enggan dikenali.
Setelah diarahkan berbincang, akhirnya A'zali bersetuju memulangkan semula jam tiruan berkenaan dan mendapatkan kembali wangnya, manakala pemilik TCL berjanji untuk mendapatkan kad jaminan yang sah daripada pembekal untuk jam Tissot PRS200.
Chong Yu kemudian menetapkan satu tarikh lain supaya pemilik TCL membawa kad jaminan tersebut ke TTPM sebagai bukti penyelesaian kes terbabit atau memulangkan semula wang A'zali sekiranya gagal berbuat demikian.