Penjaga tempat letak kereta dibunuh:
'via Blog this'
BESUT 31 Ogos - Seorang penjaga tempat letak kereta persendirian ditemui mati dibunuh di satu kawasan terpencil di hujung Kampung Gong Manok, dekat Kuala Besut di sini, petang semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Faiza Jaafar (gambar), 27, berasal dari Kampung Beris Lampu, Kuala Besut dekat sini dipercayai diseksa sebelum dibunuh berdasarkan kesan tetakan senjata tajam serta kelaran di bahagian kaki dan belakang pinggang mangsa.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Zakaria berkata, mayat mangsa yang merupakan duda beranak satu, ditemui salah seorang ahli keluarganya pada 2.40 petang selepas hampir dua jam kehilangannya.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di satu kawasan sawah padi.
"Mangsa dipercayai mati akibat tetakan di bahagian lutut kirinya hingga hampir putus, betis kiri dan di belakang bahagian pinggang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Polis percaya mangsa dibunuh antara 5 petang hingga 9 malam Rabu lalu, katanya.
Menurutnya pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci dan kini sedang memburu beberapa suspek berdasarkan barang-barang kes yang dijumpai.
Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Rozaimi Abd Rahim di talian 09-6956222 untuk sebarang maklumat.
Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, siasatan terhadap kejadian pecah masuk Kedai Emas Sri Kelantan di Kuala Besut kelmarin dipercayai membabitkan suspek warga asing selepas cap jari dikesan di pintu dan peti besi.
Dalam kejadian itu tuan punya kedai dilaporkan kerugian RM250,000 apabila barang kemas yang disimpan dalam peti besi itu lesap dilarikan penjenayah.
'via Blog this'