ALOR SETAR 1 Ogos - Bulan Ramadan ini memberi rahmat kepada seorang nelayan apabila terlepas daripada hukuman di tali gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah pada tahun lalu.
Abd. Kadir Ismail, 35 dibebaskan daripada tuduhan tersebut selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar heroin seberat 7.2 gram dan monoacetylmorphines seberat 8.96 gram di dalam bot ikan bernombor KHF 150 di tebing Sungai Kuala Sala, Yan kira-kira pukul 12 tengah hari, 8 Mac 2011.
Dadah tersebut didakwa ditemui di dalam dua bungkusan akhbar yang disembunyikan di bahagian bateri dan enjin bot ikan tersebut.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, Abd. Kadir dipenjara 16 bulan dari tarikh ditangkap pada 8 Mac tahun lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebanyak 0.29 gram heroin dan 0.22 gram monoacetylmorphines di lokasi dan masa yang sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.