KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pelajar tingkatan empat ingin mengambil sarang burung di atas sebatang pokok membawa padah setelah dia terkena peluru sesat di Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang, 2 Julai lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa berusia 16 tahun bersama seorang lagi rakannya memanjat sebatang pokok untuk mengambil sarang burung sebelum terdengar bunyi tembakan kuat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa hanya menyedari bahu kirinya berdarah selepas beberapa saat tembakan dilepaskan sebelum membuat keputusan membatalkan hasratnya mengambil sarang burung berkenaan.
“Panik melihat darah yang banyak dari bahu kirinya, mangsa terus turun dari pokok dan ketika itu dia terserempak dengan seorang lelaki dikenalinya iaitu suspek, 46, yang hanya menyoal adakah dia terkena tembakan.
“Mangsa yang ketakutan tidak menghiraukan pertanyaan suspek lalu pulang ke rumah dengan tidak menceritakan kepada sesiapa mengenai kecederaannya itu, termasuk keluarganya sendiri,” katanya.
Bagaimanapun katanya, disebabkan tidak tahan menanggung kesakitan, mangsa terpaksa memaklumkan kepada ibunya pada malam kejadian sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan di Bukit Payong untuk mendapatkan rawatan.
“Setibanya di klinik, doktor berjaya mengeluarkan sebiji peluru dari bahu kiri mangsa yang dipercayai dilepaskan oleh suspek menggunakan senapang patah,” katanya. Manoharan berkata, pada awalnya keluarga mangsa berbincang dengan suspek tidak akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan syarat, suspek perlu membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi dan syarat berkenaan dipersetujui.
“Mungkin disebabkan tidak berpuas hati terhadap suspek yang tidak menepati janji, keluarga mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang, kelmarin iaitu kira-kira jam 4.45 petang,” katanya.
Menurutnya, susulan laporan dibuat, suspek yang juga tinggal di kampung sama ditangkap pada jam 10 malam kelmarin di kediamannya.
“Pihak kami turut merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru serta buku lesen senjata api milik suspek,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menyalahgunakan senjata api miliknya untuk memburu.
“Suspek kini direman sehingga 22 Julai untuk disiasat di bawah Seksyen 8b Akta Senjata Api dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
Pada masa sama, Manoharan mengingatkan pemilik lesen senjata api terutamanya anggota Rela, jangan sesekali menyalahgunakan senjata berkenaan terutama untuk memburu.