KUANTAN 30 Jun - Empat beranak kerugian RM45,000 selepas barangan kemas dan wang tunai mereka dilarikan oleh tiga penyamun yang bersenjatakan parang dan senjata lain dipercayai pistol di Brinchang, Cameron Highlands malam semalam.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia 40-an dan bekerja sebagai pekebun itu serta isterinya berada dalam rumah bersama kedua-dua ibu bapanya.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Wan Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa sebelum kejadian, mereka didatangi seorang lelaki yang bertanyakan alamat rakannya, kira-kira pukul 5 petang.
"Bagaimanapun, mangsa tidak mengesyaki apa-apa sehingga rumahnya diceroboh tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan objek seperti pistol.
"Suspek meluru masuk ke dalam rumah lalu mengacukan parang dan mengikat mangsa. Semua mangsa ditutup mulut dengan pita pelekat sebelum suspek menggeledah rumah itu.
"Mangsa juga dipaksa menyerahkan semua barang kemas dan wang tunai RM40,000 di dalam peti besi kepada suspek," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Wan Zahari, semua mangsa tidak mengalami kecederaan dan kerugian keseluruhan bernilai RM45,000.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.