myMetroHilang jiran sekelip mata:
PERMATANG PAUH: “Saya terkejut dan tak percaya apabila diberitahu jiran pagi tadi (semalam) bahawa mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan maut. Pagi semalam (kelmarin) baru saya berbual, bersalam, memeluk dan mencium Kak Gee (Siti Fauziah Mohamad Amin) sebelum mereka bertolak ke Terengganu, jam 8.25 pagi,” kata Fadzilah Othman, 32, jiran kepada tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang kelmarin di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan itu, mangsa yang maut ialah Abdul Razak Othman, 49, anaknya, Siti Suraya, 14, dan kakak Abdul Razak, Fathilah Othman, 53.
Sementara mangsa yang cedera, isteri Abdul Razak, Siti Fauziah, 46; Rosidah Othman, 55, serta dua anak Abdul Razak, Siti Raihana,12, dan Mohamad Adam, 16.
Semua mangsa menetap di Taman Pauh Indah, dekat sini.
Fadzilah berkata, jirannya memaklumkan mahu melawat saudara mereka di Gong Badak, Terengganu sempena cuti sekolah dan mereka sekeluarga menaiki Toyota Avanza dipandu Abdul Razak.
Menurutnya, mereka berbual seperti biasa dan tiada perubahan ditunjukkan keluarga berkenaan sebelum bertolak.
“Begitupun, sebelum bertolak, abang Razak (Abdul Razak) mengambil ubat demam diberikan doktor sebab beberapa hari lalu dia demam. Kami sekeluarga seperti tak percaya dengan apa yang berlaku,” katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Fadzilah berkata, sejak mengenali keluarga jirannya tiga tahun lalu, hubungan mereka sangat akrab dan mesra.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika ini, dalam sekelip mata mereka bertiga sudah tiada,” katanya yang menetap bersebelahan rumah mangsa.
Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa mendapati ia berkunci kerana ahli keluarga melawat mangsa di Terengganu selepas kejadian itu.
Difahamkan, jenazah mangsa disembahyangkan di Surau Muhammad Al Fatih, Taman Pauh Indah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Kandu, dekat sini.