myMetro | Dibiar kesakitan:
KUALA LUMPUR: “Sampai hati mereka membiarkan ibu saya menahan kesakitan hampir setengah jam tanpa diberi rawatan. Malah, mereka menyuruh ibu menunggang motosikal sendiri selepas terbabit kemalangan ke sekolah memandu yang terletak 800 meter dari tempat kejadian,” kata anak mangsa kemalangan, R Sugumaran, 24.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang kelmarin, mangsa, N Sinnapeny, 49, sedang menunggang motosikal di Taman Permai, Puchong, sebelum tiba-tiba sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang wanita yang sedang mengambil ujian memandu merempuhnya menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas.
Sugumaran berkata, akibat kemalangan itu dan lambat menerima rawatan, kaki ibunya membengkak dan selepas pemeriksaan di Hospital Serdang, kaki kirinya terpaksa disimen kerana retak.
“Saya tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan sekolah memandu terbabit yang tidak mengambil serius mengenai kejadian itu yang boleh mengancam nyawa ibu saya.
“Sedangkan jika ketika kejadian ibu saya diberi rawatan secepat mungkin, saya percaya kecederaannya tidaklah parah. Sebaliknya pengajar yang bertugas memantau wanita terbabit memandu pula hanya meminta ibu saya menunggang semula motosikal dan pergi ke sekolah memandu yang terletak kira-kira 800 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permai Puchong, di sini, semalam.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi ibunya dan memberitahu terbabit dalam kemalangan dan masih belum menerima rawatan.
“Saya kemudian terus bergegas pulang dari tempat kerja dan ke sekolah memandu berkenaan untuk berjumpanya. Sebaik tiba, saya melihat ibu sedang menahan kesakitan selepas kakinya membengkak dan semua pekerja serta pemilik sekolah itu seolah-olah melambatkan tindakan memberi rawatan kepada ibu saya.
“Saya yang gagal mengawal kemarahan bertindak menyoal tindakan mereka itu namun ibu saya pula disalahkan kononnya melanggar kereta milik sekolah memandu itu.
“Wanita yang menyebabkan kemalangan terbabit juga sudah meminta maaf kepada kami sekeluarga dan mengaku kesalahannya,” katanya.
Katanya, buat masa ini, dia sudah melantik seorang peguam mewakili ibunya bagi menuntut pampasan ke atas sekolah memandu berkenaan akibat kemalangan itu kerana kini tangan sebelah kiri ibunya pula terasa sakit dan sukar digerakkan.
“Saya hanya inginkan keadilan dan berharap pihak terbabit dapat memberi ganti rugi kepada ibu saya dan menanggung kos perubatannya. Soal kerosakan motosikal saya tidak kisah kerana ia boleh dibaiki namun apabila ia membabitkan nyawa ibu saya terpaksa bertindak tegas dan menuntut hak kami.
“Laporan polis mengenai kejadian terbabit juga sudah dibuat di Balai Polis Puchong,” katanya.
Sementara itu, Sinnapeny berkata, dalam kesakitan akibat kaki yang tercedera, dia disuruh pergi ke sekolah memandu itu terlebih dahulu.
“Walaupun kesakitan, saya terpaksa mengikut kereta berkenaan dari belakang dengan motosikal. Malah, ketika itu kaki saya sudah membengkak sebelum saya menghubungi anak memaklumkan kejadian itu,” katanya.
'via Blog this'