myMetro | Banduan dipenjara 9 tahun:
MELAKA: Seorang banduan dihukum sembilan tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menikam pemilik kedai telekomunikasi ketika melakukan rompakan pada November tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Abu Bakar Katar selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh, Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 32, yang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan itu, semalam.
Beliau turut menimbangkan rayuan dan hujahan pihak pendakwaan dan tertuduh ketika memberikan hukuman itu.
Abu Bakar bagaimanapun membenarkan hukuman itu berjalan serentak dengan hukuman yang dijalani sekarang bermula dari tarikh tangkapan pada 14 November 2011.
Mohammad Roshaidi didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ketika merompak dua telefon jenis Nokia Express Music dan Sony Ericson model K770i terhadap Cham Boon Cheun, 34, di kedai Alat Komunikasi Hotlink (Twinstech Trading), Jalan Angsamas 1, Taman Angsamas, Durian Tunggal pada 9 November 2011, kira-kira jam 2.30 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohammad Roshaidi yang tidak diwakili peguam memohon hukuman terhadapnya dijalankan serentak, namun Timbalan Pendakwa Raya, Rebecca Mathan meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas alasan dia mempunyai rekod lampau.
“Tertuduh sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan mengikut Seksyen 395 di Mahkamah Sesyen 3 dan penjara lima tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 393 di Mahkamah Majistret,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa pada hari kejadian didatangi tertuduh yang mahu membeli telefon bimbit pada harga murah, namun pengadu tidak menjualnya.
Tiba-tiba tertuduh menikam mangsa dua kali sebelum mangsa pergi ke belakang kedai mengambil kayu menyelamatkan diri.
'via Blog this'