Utusan Malaysia Online - Jenayah:
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Mei - Isteri kepada lelaki yang melarikan diri ke Eropah setelah menyedari diburu polis kerana terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar (gambar), 12, baru-baru ini, terpaksa meminta bantuan keluarganya untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
Sumber berkata, wanita yang langsung tidak mengetahui telah berkahwin dengan seorang penculik terpaksa berbuat demikian apabila ditinggalkan sendirian di hotel setelah suaminya menghilangkan diri semasa berbulan madu di Perancis.
Beliau berkata, suspek dikenali sebagai Jang Yin Jiang, 24, yang ketakutan selepas mengetahui dia diburu polis antarabangsa (Interpol) melalui akhbar di negara berkenaan, meminta isterinya segera berkemas dengan alasan mahu mencari hotel penginapan baru.
"Isterinya yang tidak mengetahui apa-apa hanya mengikut arahan tetapi dia mula gelisah apabila suaminya yang keluar tidak lama selepas itu tidak pulang semula ke hotel dan gagal dihubungi.
"Dia yang hanya ditinggalkan wang 100 Euro (RM397.7) akhirnya mengambil keputusan menghubungi ibu bapanya di Malaysia dan terkejut apabila dimaklumkan suaminya terlibat dalam kes penculikan Nayati dan sedang diburu polis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, setibanya di tanah air, isteri suspek menghubungi polis memaklumkan insiden yang menimpanya dan membuat laporan di Balai Polis Travers selepas itu.
Sumber berkata, mangsa sudah setahun hidup bersama suspek dan memiliki seorang bayi tetapi mereka hanya pergi berbulan madu baru-baru ini kerana baru sahaja mendaftarkan perkahwinan.
Katanya, selama hidup bersama, wanita itu mendakwa dia langsung tidak mengetahui pekerjaan sebenar suaminya.
Dalam pada itu, kata sumber, seorang daripada enam suspek yang ditangkap polis berhubung kes penculikan Nayati, sempat menghantar kereta Proton Gen-2 yang digunakan menculik mangsa ke bengkel untuk dicat.
Beliau berkata, suspek menghantar kereta berwarna kelabu itu ke sebuah bengkel mengecat kereta di ibu negara untuk ditukar ke warna baru bagi mengelak dikesan polis.
Bagaimanapun, katanya, polis berjaya menemui semula kenderaan tersebut dan merampasnya untuk dijadikan bahan bukti setelah memberkas suspek baru-baru ini.
"Selepas ditahan, polis menyoal siasat suspek yang merupakan pemilik kereta Proton Gen-2 yang digunakan untuk menculik Nayati pada 27 April lalu.
"Suspek memaklumkan sudah menghantar kereta itu ke sebuah bengkel mengecat kereta di ibu negara dan polis membuat pemeriksaan ke situ berjaya menemui kenderaan tersebut," katanya.
Beliau berkata, semasa ditemui, kereta tersebut dalam proses dicat tetapi masih belum sempat ditukar ke warna baru.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah semasa sidang akhbar di Balai Polis Travers di sini hari ini memberitahu, penculik Nayati yang masih menghilangkan diri di Eropah sedang dikesan oleh Interpol.
Beliau berkata, semua kes penculikan yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini termasuk Nayati tiada kaitan dengan sindiket.
"Penculik bukanlah satu kumpulan sindiket terancang dan tidak mensasarkan mangsa hanya dalam kalangan golongan ekspatriat," katanya.
'via Blog this'