SEREMBAN – Bekas pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, 39, yang hadir ke Mahkamah Sesyen di sini semalam untuk menghadapi empat tuduhan berkaitan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatan, berjaya mengelak gambarnya dirakam media.
Wartawan Sinar Harian yang menunggu di luar bilik mahkamah hampir sejam, kecewa apabila dia tidak keluar hingga wartawan beredar kira-kira jam 5 petang.
Kira-kira 4.40 petang, suami Noor Soeraya menghampiri wartawan dan meminta gambar isterinya tidak dirakam kerana akan menjejaskan maruah.
Menurutnya, Noor Soeraya, sedih apabila gambarnya dipaparkan dalam akhbar ketika dihadapkan ke mahkamah tidak lama dahulu.
Hakim Datin Nursinah Adzmi semalam mengarahkan pendakwaan menyerahkan ketiga-tiga rakaman percakapan Noor Soeraya kepada peguam bela bagi membolehkan prosiding perbicaraan dijalankan.
Peguam Noor Soeraya, Abdul Aziz Hamzah berkata, pihak pendakwaan telah merekodkan empat rakaman percakapan tertuduh pada 12, 13 Julai, 11 Ogos 2011 dan yang terakhir 17 Januari lalu.
Namun, pihaknya hanya menerima rakaman percakapan terakhir, manakala tiga lagi tidak diserahkan kepada pihaknya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nuur Hafiedzah Md Daud berkata, pihaknya hanya menyerahkan rakaman percakapan terakhir itu mengikut Seksyen 50 (3) Akta SPRM.
Saksi pertama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Putrajaya, Rohaniza Hamzah, memberitahu mahkamah, Noor Soeraya memangku Gred G44 pada 2 Julai 2007 di Pejabat Menteri Pertanian, Kementerian Industri dan Asas Tani.
“Berkuat kuasa 16 April 2008, Noor Soeraya ditempatkan di Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan bertugas sebagai Pengarah Veterinar Negeri serta diluluskan kepada Gred G 48 pada 1 April 2011.
“Pada 1 Jun 2011, dia bertukar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Putrajaya dengan memegang Gred G44 dan memangku G48,” katanya.
Rohaniza berkata, terdapat surat pemangkuan Gred G44 tertuduh bertarikh 25 Julai 2007 dan ia ditandatangani Ketua Pengarah Veterinar.
Menurutnya, terdapat dua buku rekod perkhidmatan Noor Soeraya disimpan di Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Putrajaya yang mempunyai maklumat gred jawatan, tangga gaji, maklumat cuti dan kursus serta kenaikan pangkat.