Suasana sedih menyelubungi mahkamah apabila Hakim Yew Jen Kie tidak dapat meneruskan kata-kata dan terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan penghakimannya.
Beliau memerintahkan hukuman terhadap Abang Ibrahim Abang Ahmad, 20, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 18 Januari 2011.
Remaja terbabit didakwa menyebabkan kematian Taufik Abdul Rahim, 15, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sadong Jaya, Samarahan antara pukul 1 dan 2 petang, 15 Januari 2011.
Terdahulu dalam penghakimannya, Hakim Jen Kie berkata, berdasarkan laporan akhlak yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mahkamah bersimpati terhadap nasib tertuduh yang menjaga tiga adiknya bersendirian tanpa bantuan saudara mara selepas kematian ibu mereka dua tahun lalu.
Bagaimanapun kata Hakim Jen Kie, kegagalan tertuduh mengawal kemarahan ketika dihambur kata-kata kesat oleh mangsa lalu bertindak memukul kepalanya sehingga mati perlu diberi hukuman setimpal.
''Saya difahamkan kamu meminta peguam menyampaikan permohonan maaf bagi pihak kamu kepada keluarga mangsa. Ini merupakan satu tindakan yang wajar dipuji.
''Selepas ini, saya membenarkan kamu bertemu ayah mangsa, pandang matanya dan minta maaf kepadanya. Ini merupakan tragedi yang menyedihkan namun saya percaya beliau boleh memaafkan kamu,'' katanya.
Beliau turut mengarahkan tertuduh dan bapa mangsa menemuinya di kamar hakim sebaik sahaja prosiding selesai.
Sebelum ini, Abang Ibrahim didakwa atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam Abdul Rahman Mohd. Hazmi bernasib baik setelah pendakwaan mengemukakan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menggantikan pertuduhan asal.
Menurut laporan akhbar, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semera dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum mayatnya ditemui ditanam di belakang rumah tertuduh di Kampung Sadong Jaya, Samarahan.
Mangsa meninggal dunia selepas dipercayai dipukul di kepala dengan sebatang kayu selepas tertuduh naik angin apabila mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahim Hassan, 43 ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya tidak dapat memaafkan perbuatan mangsa yang disifatkan tidak berhati perut dan perlu dikenakan hukuman lebih berat.
'via Blog this'