KUALA LUMPUR 10 April - Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini membenarkan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan tiga lelaki yang dituduh cuba membunuh seorang lelaki dengan membakar mangsa menggunakan minyak petrol pada Februari lalu, diikat jamin RM13,000 setiap seorang.
Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin setelah mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa, Muhammad Syahirudin Mohd. Shauki, 20, kini telah keluar dari unit rawatan rapi (ICU) dan sedang menerima rawatan di wad biasa di Hospital Selayang.
Setiap tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menghubungi atau mendekati saksi pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Abdah Subri sebelum itu membantah kesemua tertuduh diikat jamin kerana mereka mengenali beberapa saksi pendakwaan dan khuatir tindakan tersebut akan mewujudkan situasi kurang selesa di kalangan saksi-saksi.
Pun begitu beliau mencadangkan ikat jamin RM20,000 setiap seorang sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan mereka diikat jamin.
Mohd. Nazrul Md. Noor, 25; adiknya, Mohd. Nazrin Md. Noor, 22; dan Mohamad Nor Akmal Tarmezi, 23, diwakili peguam Leonard Anselm Gomes.
Muhammad Ammar Ashman Jamil, 21, pula diwakili peguam Syahredzan Johan manakala Mohamad Firdaus Mohamad Saruri, 21, diwakili peguam Ding Ngik Eng.
Mohamad Nor Akmal dan Muhammad Ammar adalah pelajar IPT manakala Mohd. Nazrul merupakan penganggur dituduh terlibat melakukan perbuatan itu bersama Mohd. Nazrin, pekerja di butik kasut serta penghantar surat, Mohamad Firdaus.
Kejadian didakwa berlaku di Kampung Sepakat Sungai Tengi, Gedangsa di antara tiang Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bernombor 33 dan 32, Hulu Selangor dekat sini kira-kira pukul 5.45 pagi, 26 Februari lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan akan disebut semula pada 21 Mei ini.