BACHOK - Semua wanita dan warga emas dinasihati lebih berhati-hati terhadap orang tidak dikenali setiap masa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, semakin hari semakin banyak kejadian samun dan rompak.
Namun, beliau bersyukur kerana warga emas, Mek Mat Dam, 72, yang menjadi mangsa culik dan samun, ditemui selamat.
“Kita berharap semua berhati-hati, penjenayah bukan hanya mencari mangsanya pada waktu malam, sebaliknya siang juga.
“Banyak kes yang menimpa warga emas, malah ada antara mereka dibunuh kejam, tetapi kita bersyukur kerana makcik ini selamat,” katanya ketika menziarahi Mek, semalam.
Sementara itu, Mek tidak mampu menahan sebak kerana terharu dengan kunjungan dua wakil rakyat ke rumahnya untuk bertanya khabar berhubung kejadian 2 April lalu.
Mek merangkul dan memeluk anggota Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah yang hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Abdul Azziz Kadir.
Wan Ubaidah simpati nasib Mek yang kerugian RM30,000 setelah menjadi mangsa culik dan samun turut menyampaikan hamper dan wang tunai bagi meringankan beban warga emas itu.
Mek berkata, sebelum diseret masuk ke dalam kereta, dia terpaksa bergelut dengan seorang penyamun yang memasuki rumahnya sehingga menyebabkan keduanya terjatuh.
“Melihat keadaan itu, dua lagi rakannya meluru ke arah saya dan mengusung saya ke dalam kereta diparkir berdekatan rumah.
“Tidak cukup dengan mencekik leher, saya dikasari, manakala seorang lagi mengambil barang kemas berupa rantai, gelang dan cincin,” katanya.
Mek berkara, dia akhirnya ditinggalkan di Kampung Kuchelong kira-kira enam kilometer dari rumahnya dan dibawa pulang penduduk Gunong setelah dihubungi seorang pekedai di Kuchelong.
“Akibat kejadian, leher dan perut saya masih sakit, kesan luka juga terdapat di muka,” katanya.
Ketika kejadian, suaminya Mat Yusof Che Lah, 75, berada di kedai kopi dan anak bongsunya, Nurul Azita, 34, yang tinggal bersama keluar dengan suami ke Pekan Jelawat.