KUALA TERENGGANU: Empat kali disamun dan menyaksikan sendiri barangan kemas dilarikan di kedainya selepas dipukau tidak pernah melunturkan semangat Hasnah Endut, 69, meneruskan perniagaan.
Pemilik Kedai Emas dan Permata Hajah Hasnah itu adalah generasi kedua meneruskan legasi perniagaan dirintis arwah bapanya, Endut Abdullah lebih 40 tahun lalu.
Kini perniagaan itu diteruskan wanita itu apabila bapanya meninggal 20 tahun lalu dan turut membuka beberapa cawangan lagi dan dijaga anaknya, Anizah Hussin, 47, dan cucunya turut mengusahakan kedai emas di sekitar bandar raya ini.
Menurut wanita ini, perniagaan kedai emas adalah industri membabitkan kaum keluarga atau anak-beranak, justeru, dia tidak mahu kesinambungannya berakhir begitu saja.
Sebagai orang berpengalaman luas dalam menaksir harga dan menilai jenis emas, wanita gigih ini tidak dapat lari daripada menempuh pengalaman hitam sepanjang menjalankan perniagaan itu.
Antara pengalaman tidak mungkin dilupakannya adalah ketika pertama kali disamun lima tahun lalu apabila dikunjungi tiga lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak yang berpura-pura untuk membeli barangan kemas di premisnya.
“Mak cik masih ingat lagi, ketika keluarga ini datang ke kedai, mereka meminta mengeluarkan barangan kemas kerana kononnya hendak melihat-lihat serta meninjau harganya terlebih dulu. Kebetulan waktu itu, jam 9 pagi kedai baru dibuka untuk beroperasi dan dalam keadaan kelam-kabut menyusun barangan kemas mak cik sendiri tidak terfikir akan kedatangan mereka itu ada niat tersembunyi.
“Tanpa mak cik sedar anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun menyelinap masuk ke dalam ruang pameran lalu mengambil beberapa dulang emas dan beberapa lelaki di luar premis memasukkannya ke dalam kereta. Kebetulan ketika itu, mak cik melayan wanita yang mungkin seorang daripada mereka manakala seorang lelaki melihat-lihat barangan kemas yang ada. Sambil itu, wanita berkenaan menunjukkan kepada mak cik keadaan tangannya yang seolah-olah terbakar. “Disebabkan asyik memerhatikan tangan wanita itu, mak cik tidak sedar tiga lelaki yang berada di luar premis sudah memanaskan enjin kereta dan secara tiba-tiba wanita itu keluar bersama anaknya lalu melarikan barangan kemas saya,” katanya.
Menurutnya, nilai kerugian ditaksirkan melebihi RM100,000 itu membuatkan hatinya sebak setiap kali mengimbau peristiwa itu.
Namun, katanya, dua tahun kemudian detik hitam kembali berulang apabila sekali lagi dia bersama pembantunya didatangi pasangan suami isteri bertanyakan mengenai barangan kemas yang hendak dibeli.
Taktik mencuba dulu barangan kemas dengan mengenakan di leher antara paling popular di kalangan penyamun sebelum melarikannya tetapi jumlah kerugian hanya RM12,000. Pada tahun lalu, sekali lagi barangan kemasnya dicuri dan jumlah barangan kemas disamun melebihi RM100,000.
“Apa yang boleh mak cik katakan, inilah risiko perniagaan ini kerana apabila menuntut insurans mak cik gagal memperoleh jumlah sebagaimana diinsuranskan.
“Bukan saja mak cik, bahkan peniaga lain turut mengalami masalah serupa. Lagipun, syarikat insurans pula, tidak bersedia melindungi kedai emas dengan memberikan pelbagai alasan,” katanya.
Pengusaha kedai emas beroperasi di Jalan Kampung China di sini, turut mengakui pernah disamun beberapa tahun lalu.
Yassin Sheikh Kadir, 53, yang mengusahakan Kedai Emas Hajah Aishah bersama isterinya, Aishah Ghani, 50-an, berkata adat berniaga ada kalanya diuji dengan pelbagai perkara.
“Tidak dinafikan dilema kebanyakan peniaga kecil seperti kami kerana sukar mendapat kerjasama daripada syarikat insurans. Sekiranya pihak insurans tidak mahu melindungi kami, usaha lain untuk meningkatkan aspek keselamatan mesti dilakukan di samping bekerjasama dengan pihak polis.
“Kedai kami pernah disamun beberapa kali tetapi sesuatu yang dipelajari daripada peristiwa itu, ia ujian dalam perniagaan. Peristiwa pelanggan wanita yang berlagak membeli barangan kemas kemudian menyorokkan barang dalam baju, ada yang menelan rantai di dalam mulut, semua itu sudah saya tempuhi,” katanya yang sering menghabiskan masa ke luar negara bersama keluarga apabila waktu terluang.
“Apa yang menyedarkan saya, jangan leka dengan rezeki yang Allah beri kepada kita sebab ada sebahagiannya milik orang miskin. Untuk itu, saya tidak pernah lupa membayar zakat emas dan juga membantu golongan kurang bernasib baik walaupun kita sudah senang,” katanya yang sering menghabiskan masa ke luar negara bersama keluarga apabila waktu terluang.
Berlainan pula dengan nasib pemilik Kedai Emas Sepuluh, Muhamad Saupi Hashim, 45, yang menjalankan perniagaan bersama isteri, Wan Sharifah Wan Abu Bakar, 42. Sepanjang menjalankan perniagaan 16 tahun lalu dia tidak pernah berdepan masalah disamun atau kecurian.
Namun, katanya, usaha melindungi premis mesti dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga dengan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) di samping aspek keselamatan lain.
Dia yang mewarisi perniagaan emas dirintis ibunya, Muzarradah Abdullah dan kebanyakan adik-beradiknya turut membuka premis masing-masing di sekitar Kuala Terengganu dan juga Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebelum membuka kedai emas, arwah emaknya (meninggal dunia tujuh tahun lalu) adalah peraih yang berjaya