PARIT BUNTAR – Tindakan berani seorang anak, Jaafar Ismail, 51, merempuh masuk ke dalam rumah miliknya yang marak terbakar berjaya menyelamatkan ibunya daripada rentung di Jalan Terusan di sini, semalam.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, sebahagian ahli keluarganya keluar bekerja dan hanya ibunya, Sitimah Ahmah, 71 berada di rumah.
Menurutnya, dia cuma menyedari kebakaran berlaku ketika api sedang marak dan mujurlah jiran tertangga datang membantunya.
“Saya nekad masuk ke dalam rumah sewaktu api sedang marak untuk menyelamatkan ibu yang terperangkap di bahagian ruang tamu,” katanya.
Bagaimanapun, ibunya hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan akibat percikan api dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Parit Buntar.
Jaafar berkata, kebakaran tersebut menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang musnah dijilat api.
“Saya memang terkejut dengan kejadian itu dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga kerana ia berlaku sangat pantas.
“Sedih kerana tidak tahu di mana mahu tinggal selepas ini,” katanya yang sudah lama mendiami rumah itu.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan hadir bersama Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Mat Ali dan Penghulu Mukim Parit Buntar, Ahmad Shah.
Mujahid berkata, pihaknya sedang berusaha membantu mangsa dengan memberikan barangan keperluan.
“Bantuan dari Tabung Bencana Daerah bakal menyusul secepat mungkin. Selain itu, jabatan kerajaan juga digesa untuk menyalurkan bantuan segera kepada keluarga Jaafar.
“Kami berharap mangsa dapat bersabar dengan ujian itu,” katanya.
Sementara itu, Jaafar sekeluarga menumpang di rumah keluarga terdekat sehingga bantuan diterima kelak.
'via Blog this'