PASIR MAS – Seorang wanita yang baru menerima pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Selasa lalu, hanya mampu melihat rumah serta wang tunai berkenaan hangus depan matanya sekelip mata dalam kejadian di Kampung Chenerai, pagi semalam.
Mangsa, Mastura Abdullah, 34, berkata, mengikut perancangannya, wang RM2,000 itu akan digunakan sebagai modal perniagaan kecil-kecilan tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya, sebelum memulakan perniagaan, dia berhasrat menyimpan dahulu wang berkenaan di bank pada Ahad ini kerana bimbang terus menyimpan di rumah, memandangkan dia sering keluar rumah pada sebelah pagi untuk menoreh getah.
Menurutnya, dia hanya menyedari kebakaran itu ketika menyiang ikan untuk makan tengah hari mereka sekeluarga sebaik pulang dari kebun getah.
“Ketika sedang menyiang ikan, saya nampak cahaya api dari bilik yang terletak bersebelahan dengan dapur lantas keluar menjenguk.
“Apabila ke bilik, saya dapati api sedang marak dan menjerit meminta anak sulung, Normaisarah, 15, yang berada di ruang tamu bersama adik lelaki, Mohd Nizam, 18, menyelamatkan diri kerana sudah tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu,” katanya.
Mastura berkata, dia hanya sempat menyelamatkan pam racun, peti sejuk dan tong gas sementara kesemua dokumen penting miliknya sekeluarga hangus terbakar.
Menurutnya, jiran-jiran yang menyedari rumahnya terbakar memaklumkan kejadian kepada bomba dan penyelamat.
“Saya bersyukur walaupun rumah yang saya diami sejak 13 tahun lalu musnah bersama wang tunai serta dokumen penting, tetapi semua ahli keluarga selamat.
“Ketika kejadian, empat dari lima anak saya berada di halaman rumah sementara suami, Abdullah Hanafi, 37, keluar menangkap ikan tidak jauh dari rumah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Dunya Saat yang juga Ketua Operasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.59 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, rumah berkenaan telah musnah terbakar.
“Bomba dan penyelamat bagaimanapun dapat mengawal api dari merebak ke madrasah yang terletak bersebelahan dengan rumah berkenaan.
“Operasi melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan dibantu satu jentera dari Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi petang semalam.
Dunya berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan api dipercayai bermula dari bilik tidur rumah berkenaan. Menurutnya, berikutan kejadian, mangsa berdepan kerugian dianggarkan RM60,000.