Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA penguat kuasa MBMB merampas kelengkapan premis siber kafe haram di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Duyong, Melaka, kelmarin.
MELAKA 27 Jan. - Pengusaha-pengusaha kafe siber haram di negeri ini kini bukan sahaja berani melanggar undang-undang malah bertindak lebih ganas sehingga sanggup mencederakan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.
Dalam kejadian pukul 11.45 malam tadi, seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Azizan Abbas, 26, cedera di tangan akibat terkena libasan pisau selepas diserang sekumpulan lebih 30 lelaki dipercayai geng tonto di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Kandang, di sini.
Turut cedera dalam kejadian itu ialah empat lagi pegawai dan penguat kuasa MBMB yang terlibat dalam operasi itu akibat dipukul kumpulan lelaki tersebut yang bersenjatakan batang besi, rotan dan kayu, mengakibatkan mereka mengalami lebam-lebam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku selepas sepasukan lima anggota penguat kuasa dan pegawai MBMB merampas sejumlah peralatan termasuk komputer dari kafe siber berkenaan setelah didapati beroperasi tanpa lesen.
Katanya, siasatan mendapati kafe haram tersebut baru empat hari beroperasi.
"Tindakan lima penguat kuasa tanpa uniform itu bagaimanapun cuba dihalang sekumpulan enam hingga tujuh lelaki dipercayai tonto sehingga bilangannya bertambah kepada kira-kira 30 orang.
"Dalam pertengkaran itu, salah seorang daripada mereka yang bersenjatakan pisau tiba-tiba menyerang salah seorang penguat kuasa itu sehingga mangsa cedera di lengan kanan," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pada masa sama, empat lagi anggota penguat kuasa yang lain turut cedera akibat diserang kumpulan lelaki itu menggunakan besi, rotan dan kayu.
"Polis sudah mengenal pasti mereka yang melakukan serangan ini dan akan menangkap suspek dalam tempoh terdekat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata tajam," katanya.
Raja Shahrom memberitahu, hasil maklumat yang diterima, pihak MBMB tidak memaklumkan operasi yang dilakukan malam tadi kepada polis.
"Ia bukan menjadi satu kesalahan kerana mungkin mereka tidak menjangka akan diserang, namun, kebiasaannya dalam operasi sebegini wajar memaklumkan kepada polis demi keselamatan mereka," katanya.
Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu yang meluangkan masa melawat Azizan di Hospital Melaka berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sehingga mencederakan anggotanya.
"Sebelum ini, memang kita pernah menerima ugutan daripada tonto-tonto ini tetapi serangan sehingga mencederakan anggota penguat kuasa malam tadi membuktikan mereka sanggup bertindak apa sahaja," katanya.
Tambah beliau, operasi bermula pukul 6 petang itu bertujuan membanteras kewujudan kafe-kafe siber haram dengan pasukan mereka dibahagikan kepada dua kumpulan termasuk penguat kuasa berpakaian biasa sebagai penyamaran.
Menurutnya, premis yang diserbu di Taman Seri Duyong Seksyen 2 itu adalah lokasi ketiga serbuan dan ia merupakan kafe siber haram yang baru empat hari beroperasi.
Zainal memberitahu, pihaknya tidak memaklumkan operasi itu kepada polis kerana kebiasaannya hanya serbuan kafe siber berlesen yang menjalankan kegiatan judi haram sahaja akan melibatkan pasukan berkenaan.
"Selain itu, kami juga tidak menyangka tindakan ganas ini boleh berlaku kerana kafe siber haram yang diserbu itu baru empat hari beroperasi.
"Bagaimanapun, selepas ini MBMB akan sentiasa melibatkan polis dalam setiap operasi dilakukan bagi mengelak insiden ini daripada berulang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pihak berkuasa tempatan itu telah merampas sebanyak 1,132 unit komputer dalam operasi kafe siber tanpa lesen pada tahun lalu bermula September sehingga Disember lalu.