PETALING JAYA: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas dibelasah dan ditetak sekumpulan empat penyamun yang turut bertindak melarikan isteri dan kereta miliknya dalam kejadian di Kampung Baru Subang, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, isterinya yang enggan dikenali dan berusia 43 tahun ditinggalkan di tepi jalan di Paya Jaras dua jam kemudian selepas dicampak keluar dari kereta Proton Persona yang dilarikan penyamun itu.
Mangsa, Zainudin Bakar, 48, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika dia dan isterinya sedang nyenyak tidur dalam rumah kontena yang disewa mereka.
“Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi ketukan yang sangat kuat dan isteri saya terus membuka pintu selepas menyangkakan ia jiran yang selalu mengejutkan kami untuk bersiap ke tempat kerja.
“Tanpa sempat berbuat apa-apa, empat lelaki bersenjatakan parang terus meluru ke arah kami dan meletakkan parang di leher kami.
“Pada mulanya suspek hanya menyelongkar barangan milik kami, namun mereka tiba-tiba menjadi agresif dengan memukul dan menumbuk isteri saya,” katanya.
Menurutnya, tidak tahan dengan perbuatan mereka, dia cuba melawan dan ketika itulah seorang daripada mereka menetaknya dan cuba menikamnya di perut.
“Melihat kami sudah berlumuran darah, suspek mengheret isteri dan melarikannya menaiki kereta kami.
“Selain kereta, mereka turut melarikan beg berisi dokumen penting serta dompet saya yang mempunyai wang sebanyak RM100,” katanya.
Zainudin berkata, selepas dua jam kejadian, dia menerima panggilan daripada seorang pekerja kontrak yang menyatakan menemui isterinya di tepi jalan di Paya Jaras sebelum bergegas membawanya ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Beliau dan isterinya masing-masing menerima sembilan dan 15 jahitan di tangan akibat ditetak penyamun terbabit.
'via Blog this'