Search This Blog

Friday, December 14, 2012

Van dipandu laju hilang kawalan

myMetro | Van dipandu laju hilang kawalan:


JITRA: Tujuh parah, manakala dua cedera ringan apabila van mereka naiki merempuh belakang sebuah bas ekspres yang sedang menunggu giliran membayar tol di Kilometer 30, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di Plaza Tol Jitra, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, van berkenaan membawa tujuh kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dari Alor Setar ke pusat pengajian tinggi itu.



Kakitangan UUM terbabit bertugas di Bahagian Bendahari, Hal Ehwal Pelajar, Komputer dan Kolej Perniagaan dan mereka dipercayai menggunakan perkhidmatan van sewa itu sejak 20 tahun lalu untuk berulang alik dari Alor Setar ke Sintok, setiap hari.




Difahamkan, bas ekspres itu sedang menunggu giliran membayar tol sebelum pemandunya terdengar dentuman kuat dan mendapati sebuah van merempuh belakang bas berkenaan.



Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kangar, Perlis untuk menghantar penumpang, manakala van itu dalam perjalanan menghantar kakitangan UUM ke Sintok.



“Berdasarkan siasatan, van berkenaan dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan lalu merempuh belakang bas berkenaan.








“Jarak kemalangan itu hanya 20 meter dari plaza tol, tetapi tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.



Ibrahim berkata, tujuh mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), untuk mendapatkan rawatan manakala dua lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jitra.






“Setakat ini, pemandu bas ekspres terbabit sudah membuat laporan berhubung kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.



“Punca kejadian masih disiasat dan kami belum mengambil keterangan daripada pemandu van terbabit berikutan sedang dirawat di HSB akibat cedera parah,” katanya.



Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Jitra, Mohamad Darus berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan lima mangsa yang tersepit dalam van berkenaan.



Beliau berkata, seramai tujuh anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamatkan semua mangsa selepas menerima maklumat berhubung kemalangan itu.



“Kami tiba di lokasi lima minit kemudian dan terpaksa mengeluarkan semua mangsa melalui pintu belakang van disebabkan kedua belah pintu dan hadapan kenderaan itu remuk teruk.



“Kita turut menggunakan peralatan untuk menyelamat mangsa sebelum semua mereka dihantar ke hospital” katanya.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment