Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Tiga sahabat dituduh bunuh peniaga makanan

Tiga sahabat dituduh bunuh peniaga makanan:

Tiga sahabat dituduh bunuh peniaga makanan

TIGA lelaki yang dituduh membunuh dan merompak peniaga makanan keluar dari kompleks Mahkamah Temerloh, Pahang, semalam.
TEMERLOH 12 Dis. - Tiga lelaki, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang peniaga makanan dalam satu kejadian rompakan di Kampung Baru Simpang Sanggang, hampir tiga bulan lalu.
Mohd. Hairie Abdul Jalil, 28, Mohammad Ridzuan Khaidir, 22, dan remaja terbabit dituduh bersama-sama membunuh Abdul Talib Yadin, 56, di Jalan Melati, Kampung Baru Simpang Sanggang di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 14 September lepas.
Kesemua mereka didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dazuki Ali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh yang tidak dibenarkan diikat jamin.
Sementara itu, Mohd. Hairie atau dikenali sebagai KK yang bekerja sebagai tukang masak bersama tertuduh juvenil berusia 16 tahun itu turut didakwa atas di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama iaitu melakukan rompakan.
Mereka berdua didakwa melakukan rompakan wang tunai RM20,000 di Lot 347 Kampung Belangka, Jejawi pada pukul 9.40 pagi, 26 Julai lalu manakala satu lagi pertuduhan didakwa dilakukan di rumah No. 78, Taman Bahagia Intan, di sini pada pukul 2.30 pagi, 20 Julai lalu.
Mohd. Hairie mengaku tidak bersalah sementara remaja terbabit mengaku bersalah bagi kedua-dua tuduhan rompakan itu.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kesemua kes itu pada 22 Januari tahun depan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elyana Othman.
Dalam kejadian bunuh di Jalan Melati, Kampung Baru Simpang Sanggang pada 14 September lalu, Abdul Talib yang berniaga di Rawat dan Rehat (R&R) Temerloh, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) maut selepas bergelut dengan tiga penjenayah yang melakukan samun kira-kira 200 meter dari rumahnya.
Dalam kejadian rompakan itu, Abdul Talib bersama isteri, Siti Rohani Salleh, 48, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berniaga di hentian tersebut.
Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dihalang sekumpulan tiga penjenayah menaiki sebuah kereta ketika melalui Jalan Melati iaitu jalan kampung antara Kampung Desa Murni ke Kampung Baru Simpang Songsang.
Ketiga-tiga penjenayah kemudian bertindak menyerbu ke kereta mangsa dengan memecahkan cermin sisi dan belakang lalu berlaku pergelutan dan mangsa dipercayai ditikam dengan senjata tajam sebelum mati ditempat kejadian.
Isteri mangsa yang turut ditikam di rusuk kanan sempat melarikan diri dan berjaya mendapatkan bantuan jiran lalu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk mendapatkan rawatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121213/ma_04/Tiga-sahabat-dituduh-bunuh-peniaga-makanan#ixzz2Ew2QMXvV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment