Search This Blog

Friday, December 14, 2012

Tiga penjenayah cuba loloskan diri ditahan polis

Tiga penjenayah cuba loloskan diri ditahan polis - Johor - Sinar Harian:

Tiga penjenayah cuba loloskan diri ditahan polis
Mohd Kamil menunjukkan parang dan peralatan yang dirampas ketika sidang media di IPD Kulaijaya.
KULAIJAYA – Tiga penjenayah gagal meloloskan diri daripada ditangkap polis selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan selepas melanggar pembahagi jalan dan pokok di Kilometer 27, Jalan Air Hitam-Johor Bahru, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, penjenayah terbabit bertindak memecut sebuah kenderaan yang dicuri selepas kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulaijaya mahu membuat pemeriksaan.
Timbalan Ketua Polis IPD Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dua anggota MPV terbabit mendekati kereta suspek yang tidak mempunyai nombor pendaftaran pada bahagian depan, namun suspek panik dan terus memecut sejauh dua kilometer.
Bagaimanapun, suspek berusia 32 hingga 36 tahun cedera selepas terlibat dalam kemalangan itu seterusnya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kereta dinaiki suspek dicuri menggunakan nombor pendaftaran motosikal termasuk menjumpai dua bilah parang. Kesemua suspek yang ditahan mempunyai kesalahan jenayah lampau membabitkan samun, dadah, jenayah kekerasan dan curi kenderaan.

“Kita juga percaya sebelum melarikan diri mereka merancang samun terhadap sebuah kedai 24 jam berdekatan. Suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPD Kulaijaya, di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Mohd Kamil berkata, polis turut menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah itu pada 29 November lalu.
“Mereka yang ditahan 17 hingga 24 tahun, manakala seorang daripada suspek baru selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Mereka ditangkap di beberapa lokasi berasingan. Polis mengesyaki mereka melakukan beberapa siri rompakan menggunakan motosikal,” katanya.
Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment