Search This Blog

Saturday, February 9, 2013

Gajah betina rosakkan tanaman ditangkap




INILAH gajah betina yang ditangkap Perhilitan Perak di Kampung Jalong, Sungai Siput semalam.


SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor daripada sekumpulan gajah yang disyaki merosakkan tanaman penduduk di Kampung Jalong di sini petang semalam.
Tangkapan dibuat kira-kira pukul 2.30 petang, selepas sekumpulan anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Perak telah menembak gajah betina berkenaan yang dianggarkan seberat 1.5 tan dengan ubat pelali.
Ketua UTG Perhilitan Perak, Mohd. Hazlin Qozek Aladdin berkata, pihaknya mengesyaki terdapat tiga lagi gajah masih berkeliaran di sekitar kawasan hutan tersebut, tetapi kesemuanya dipercayai anak kepada gajah betina berkenaan.
"Ukuran tapak kaki hadapan gajah betina itu adalah sekitar 36 sentimeter dan ia dianggarkan berusia antara 15 ke 20 tahun. Kita akan terus melakukan pemantauan dengan menjejaki kesan tapak baharu gajah-gajah berkenaan.
"Mereka didapati berkeliaran di kawasan hutan kampung tersebut yang jaraknya kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar dan berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Jalong," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Hazlin Qozek berkata, gajah betina berkenaan akan dipindahkan ke Unit Pengurusan Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dalam tempoh seminggu lagi.
Katanya, kejadian gajah merosakkan tanaman seperti getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan jagung sudah lama tidak berlaku di kawasan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2KM8ciWg1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment