Search This Blog

Thursday, December 6, 2012

Tak sempat kahwinkan anak

myMetro | Tak sempat kahwinkan anak:

DUNGUN: “Ibu minta percepat tarikh perkahwinan dan saya tidak menyangka itu permintaan terakhirnya,” kata Norsabaha Badiozaman, 23, anak sulung Suzlina Ahmad, 40, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, semalam.
Menurutnya, ibu menggesanya mempercepatkan tarikh perkahwinan dengan tunangnya, Nor Salwani Mazlan, 23, yang sepatutnya berlangsung Mac tahun depan ketika mereka berbual di rumah di Kampung Balai Besar, di sini, Isnin lalu.

“Saya terkejut dengan gesaan itu kerana ketika majlis pertunangan bulan lalu, dia yang meminta tarikh perkahwinan saya ditetapkan pada tahun depan,” katanya yang ditemui ketika menuntut jenazah ibunya di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, semalam. Norsabaha berkata, ibunya disahkan menghidap barah buah pinggang sejak bulan lalu dan melakukan rawatan secara tradisional di Machang, Kelantan.
“Ketika kejadian, Allahyarham ditemani adik saya, Mohd Ridwan dan sepupu, Nurfatikah Samsuddin dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan itu di Machang,” katanya.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian, dia menegur ibunya kerana banyak berbelanja membeli keperluan rumah serta pakaian adik-beradiknya.

Dia berkata, ibunya kerap mengikuti rombongan ke Rantau Panjang, Kelantan serta Kuala Lumpur dan ketika lawatan itu, membeli pakaian dan keperluan rumah dengan banyak.
“Ahad lalu, sekembalinya ibu dari Kuala Lumpur, saya menegurnya kerana banyak berbelanja membeli barangan berkenaan sedangkan pakaian yang dibeli sebelum ini, masih banyak belum digunakan.

“Apabila saya tegur, ibu jawab, ‘tak usah bising-bising, ini untuk kamu semua. Ini untuk lapan anak emak’,” katanya.
Norsabaha berkata, ibunya itu juga kelihatan banyak termenung dan mudah marah sehingga merisaukannya serta tujuh beradik lain.

“Kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment