Search This Blog

Saturday, December 8, 2012

SPRM cekup 10 ‘orang dalam’

Berita Harian | SPRM cekup 10 ‘orang dalam’: "SKUAD"

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 individu, termasuk 10 penguat kuasa kerana disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan bahan api subsidi melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Semua suspek ditahan dalam beberapa serbuan berasingan sekitar Padang Terap, dekat sini, terutama 10 anggota penguat kuasa berkenaan yang majoritinya bertugas di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Durian Burung.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Yusoff Akope, ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua 15 individu terbabit Selasa lalu, termasuk dua warga Thailand.

Terbabit rasuah

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kecuali mengesahkan penahanan semua suspek termasuk lima orang awam itu mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah.
“Buat masa sekarang, kes masih disiasat. Saya tidak dapat ulas lebih lanjut,” katanya.

Difahamkan, penahanan 15 individu berkenaan dilakukan susulan risikan SPRM Kedah di sekitar kawasan CIQ Durian Burung sejak enam bulan lalu, selepas disyaki menjadi laluan utama kegiatan penyeludupan petrol serta diesel subsidi ke Ban Pratob di Thailand.
Rampas petrol subsidi

Selain itu, SPRM Kedah turut merampas 21,000 liter bahan api majoritinya petrol subsidi di pusat pengumpulan di sekitar Durian Burung, yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.

Berdasarkan maklumat, sindiket terbabit dikatakan aktif sejak 2009 lalu dan mendapat bekalan diesel serta petrol daripada individu tertentu yang membelinya secara runcit di sekitar pam minyak.

Sumber SPRM Kedah berkata, pihaknya yakin penguat kuasa yang ditahan itu mempunyai peranan dalam memastikan kegiatan haram terbabit yang menjadikan CIQ Durian Burung sebagai laluan utama kegiatan, berjalan lancar.

Difahamkan, 10 anggota penguat kuasa berkenaan kini ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah, manakala baki lima lagi mengikut Seksyen 17(b) akta sama kerana memberi suapan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment