Search This Blog

Friday, December 14, 2012

Sindiket curi kabel tumpas

Sindiket curi kabel tumpas - Selangor & KL - Sinar Harian:

Sindiket curi kabel tumpas
Abd Razak (tengah) melihat peralatan yang berjaya dirampas selepas anggotanya menumpaskan sindiket curi kabel TM di Taman Muhibbah.
SERDANG –  Menggunakan kepakaran dan kemahiran dimilikinya, seorang lelaki yang pernah bekerja sebagai sub kontraktor Telekom Malaysia (TM), bersama empat  rakannya licik mencuri kabel bawah tanah milik syarikat telekomunikasi itu.
Difahamkan, sindiket terbabit melakukan aktiviti itu pada awal pagi, lengkap dengan pemasangan papan tanda amaran dan sebagainya untuk mengaburi mata orang awam kononnya mereka kontraktor dilantik TM.
Bagaimanapun, sindiket terbabit berjaya ditumpaskan ketika leka menarik keluar kabel berdekatan kawasan perumahan Taman Muhibbah kira-kira jam 3.45 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, bertindak atas maklumat anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Serdang bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sampai, suspek dikatakan leka menarik kabel bawah tanah dengan menggunakan sebuah lori.
Beliau berkata, dua lelaki termasuk seorang yang menyembunyikan diri di bawah lori diberkas sebelum pihaknya dapat mengesan seorang lagi suspek cuba melarikan diri.

Jelas Abd Razak, rondaan selanjutnya menemukan anggotanya dengan sebuah kenderaan dinaiki dua lagi suspek yang juga anggota sindiket terbabit.
“Berlaku kejar-mengejar sejauh dua kilometer dari Taman Muhibbah hingga Lebuhraya Besraya sebelum kedua-duanya diberkas dalam kereta jenis Kia Spectra dinaiki.
“Siasatan mendapati salah seorang suspek berusia 31 tahun dikehendaki polis berhubung kes di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan sebelum ini,” katanya.
Abd Razak berkata, dua daripada lima suspek berusia 44, 37,24 dan 28 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.
Beliau berkata, pihaknya berjaya merampas semula kabel sepanjang 600 meter yang cuba dibawa lari geng terbabit dianggarkan bernilai RM70,000.

Sebilah parang, pemotong besi dan  tali dipercayai digunakan untuk menarik kabel di bawah tanah turut dirampas pihaknya.
Katanya, perbuatan suspek menyebabkan hampir 1,500 rumah terputus talian telefon dan pihak TM terpaksa menanggung kos pembaikan hampir RM100,000.
Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh disabitkan dengan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bersama suspek turut ditemui tiga MyKad milik individu lain dan perkara itu juga akan disiasat secara terperinci. Ini adalah kejayaan terbesar membabitkan sindiket curi kabel untuk tahun ini,” katanya.
Sementara itu, selepas sidang media berkenaan kes itu semalam, Pengurus Besar Negeri, Kawasan Perniagaan MSC TM, Norliza Jaffar menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 anggota Balai Polis Serdang yang berjaya menumpaskan sindiket itu.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment