Search This Blog

Tuesday, December 4, 2012

Rumah Exco disamun lagi

myMetro | Rumah Exco disamun lagi:

KUANTAN: Kira-kira dua tahun lalu, empat daripada lima perompak yang memasuki rumah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, di Jalan Teluk Sisek, di sini, ditembak mati polis, namun kali ini rumah berkenaan yang kini diduduki mentuanya, sekali lagi menjadi sasaran apabila dipecah masuk pencuri.
Selepas kejadian 5 Julai 2010, rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur itu yang kini didiami mentuanya, Datuk Ahmad Baharuddin Mohd Akil, 83, dan isterinya Datin Bahariah Abdullah, 76, sekali lagi dimasuki pencuri dipercayai hujung minggu lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan hanya disedari jam 7.30 malam kelmarin apabila Wan Adnan pulang dari Kuala Lumpur selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno.
Ketika kejadian, keluarga mentuanya difahamkan turut berada di Kuala Lumpur dan penjenayah terbabit mengambil kesempatan memasuki rumah berkenaan melalui siling sebuah bilik.

Wan Adnan ketika dihubungi memaklumkan dia mendapati keadaan dalam rumah berselerak selepas tiba dari Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Katanya, melihatkan keadaan itu, dia mengesyaki rumah dimasuki pencuri sebelum membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, malam kelmarin.
“Saya tergamam apabila sampai di rumah ini, petang semalam (kelmarin) dan mendapati keadaan bilik berselerak. Selepas mendapati ada barangan yang disimpan dalam peti hilang, saya membuat laporan polis,” katanya. Bapa mentuanya, Ahmad Baharuddin berkata, penyamun dipercayai mengetahui selok-belok keadaan di dalam rumah itu dan menyelongkar biliknya serta bilik Wan Adnan bagi mencari barangan berharga.

“Saya syak kejadian ini dilakukan lebih daripada dua orang pada malam minggu lalu dan mereka seperti sudah tahu apa yang mereka mahu ambil,” katanya ketika ditemui, di rumahnya petang semalam.
Katanya, semua kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah itu dialihkan bagi mengelak wajah mereka dirakam.

“Pita rakaman CCTV turut dilarikan. Bilik saya dan menantu berselerak dan mereka melarikan beberapa jam tangan serta barangan kemas milik saya dan isteri yang disimpan dalam peti,” katanya.

Menurutnya, penyamun terbabit meloloskan diri melalui tingkap biliknya dan tidak menggunakan pintu depan kerana berkemungkinan mereka mengetahui kediaman itu dilengkapi alat penggera keselamatan.

“Semua kunci kenderaan dan kunci pejabat juga dilarikan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, polis ke tempat kejadian selepas menerima laporan mendapati keadaan dalam rumah berselerak, manakala siling dipecahkan.

“Siasatan awal, polis percaya rumah mangsa dimasuki penjenayah melalui siling bilik tidur yang dipecahkan,” katanya.

Mohd Jasmani berkata, sehingga kini jumlah kerugian sebenar masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut masih dilakukan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment