Search This Blog

Thursday, December 6, 2012

Rumah dipecah 4 kali, kereta hilang terbabit nahas

myMetro | Rumah dipecah 4 kali, kereta hilang terbabit nahas:

KUCHING: Seorang ahli perniagaan ditimpa malang berganda apabila bukan saja rumahnya dipecah masuk empat kali dalam tempoh tiga bulan, malah kereta Nissan Sentra miliknya yang dilarikan penjenayah, turut terbabit dalam kemalangan semalam, dipercayai ketika suspek cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Mangsa dikenali sebagai Lau, 48, mengetahui keretanya yang hilang pada 20 November lalu itu, terbabit kemalangan berhampiran Jalan Foochow, di sini, jam 2.20 pagi semalam selepas dimaklumkan polis.

Difahamkan, kereta dipandu dua lelaki sebelum terbabas merempuh pokok di bahu jalan dan mereka melarikan diri bagi mengelak ditahan polis.
Polis turut menemui peralatan pecah rumah, duit syiling, beg tangan, dompet dan beberapa barangan lain dipercayai barang curi disimpan dalam kereta, selain mendapati menggunakan nombor pendaftaran serta cukai jalan palsu.

Menurut Lau, dia dimaklumkan polis penemuan kereta itu sebelum bergegas ke Balai Polis Simpang Tiga, bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan kereta dicuri di rumah saya di Batu Kawah, digunakan penjenayah untuk kegiatan pecah rumah.
“Pada 20 November lalu, anak perempuan saya menyedari pintu pagar rumah terbuka luas dan nampak seorang lelaki memandu kereta berkenaan,” katanya yang hadir di Balai Polis Simpang Tiga, semalam.

“Saya syak penjenayah itu cuba melarikan Toyota Estima kerana pintunya terbuka, tetapi mereka melarikan Nissan Sentra kerana di dalamnya ada semua dokumen berkaitan kereta itu,” katanya yang hadir di Balai Polis Simpang Tiga, semalam.
Lau berkata, kejadian itu kali ketiga rumahnya dipecah masuk. Menurutnya, kejadian pertama pada September apabila beg tangan, barang kemas milik isterinya dilarikan pencuri, kejadian kedua pada Oktober dan ketiga pada 26 November lalu.

“Dalam kejadian Oktober lalu saya kehilangan barangan elektrik dan telefon bimbit manakala pada 26 November lalu rumah saya dipecah masuk ketika saya dan keluarga bercuti di Kuala Lumpur,” katanya.

“Jiran memaklumkan ada beberapa lelaki datang ke rumah saya sebanyak tiga kali dan memunggah barang dari rumah saya menggunakan Perodua Kancil.

“Jiran menyangkakan saya berpindah dan merakam gambar kereta berkenaan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.

Lau berkata, dia sudah serik menjadi mangsa jenayah pecah rumah dan nekad berpindah ke rumah keluarga berhampiran rumahnya demi keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner, Roslan Bek Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment