Search This Blog

Thursday, December 20, 2012

Ragui aset bekas pegawai polis



PETALING JAYA – PKR mendakwa seorang bekas pegawai polis berpangkat tinggi mempunyai 10 aset hartanah bernilai kira-kira RM2.95 juta di Lembah Klang.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Mohd Yahya Mat Shari berkata, beliau mempersoalkan bagaimana individu berkenaan boleh mempunyai aset sebegitu besar nilainya.

Katanya, maklumat tersebut diperoleh hasil carian pada 1999, di mana bekas pegawai polis tersebut didakwa memiliki 10 aset rumah terdiri daripada kondominium mewah, rumah kos rendah dan rumah teres kos rendah.

“Aset yang dimiliki nilainya begitu besar melibatkan 10 aset daripada nilai tinggi hingga rendah termasuk empat hingga lima flat murah yang semua dia ambil.

“Bagaimana pegawai tinggi polis ini boleh ada aset begitu banyak tidak diisytiharkan seperti mana diperlukan.

“Bagaimana orang awam sukar untuk beli rumah khususnya di bandaraya tetapi pegawai polis ini punya aset begitu banyak dan masih boleh beli flat harga rendah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam.

Mohd Yahya mendakwa, kesemua aset tersebut dimiliki atas nama pegawai polis tersebut serta isterinya.

Katanya, antara kawasan dimaksudkannya adalah di Wangsa Maju, Taman Miharja, Taman Sri Rampai, Taman Sri Sentosa dan Desa Kiara.

Dalam pada itu beliau mendakwa, nilai tahunan dicatatkan adalah antara RM4,800 hingga RM25,000 berdasarkan nilai pada 1999 tetapi sekarang ia berlipat ganda hingga mencecah antara RM400,000 hingga RM600,000.

Katanya, beliau menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tampil membuat kenyataan berhubung dakwaannya itu bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul.

No comments:

Post a Comment