Search This Blog

Saturday, December 8, 2012

Pukul bapa hingga patah

Pukul bapa hingga patah - Pahang - Sinar Harian:

Pukul bapa hingga patah
Tertuduh kelihatan tenang dan tersenyum walau terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun.
KUANTAN - Seorang penganggur dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencederakan bapanya menggunakan kerusi kayu.

Dalam kejadian di rumah mereka di Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan di sini, September lalu, mangsa mengalami cedera parah apabila patah tangan kiri dan cedera di kepala.

Tertuduh, Kamarul Azman Mohammad Saadon, 38 sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan sama bagaimanapun ketika itu dia mengaku tidak bersalah sebelum dirujuk ke Hospital Bahagia Tampoi untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.

Bagaimanapun hasil laporan perubatan yang dikeluarkan mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu secara sedar dan pendakwaan berhubung kes tersebut diteruskan semalam di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.

Tertuduh yang menukar pengakuannya kepada bersalah semalam mengakui memahami fakta kes dibacakan.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin, kira-kira jam 8.30 pagi, 4 September lalu, pengadu (mangsa) yang juga seorang pesara polis berusia 64 tahun ada di rumah bersama tertuduh.

Pengadu tidak tahan dengan perbuatan tertuduh yang suka meletakkan barang merata-rata dan tidak mengemaskannya kembali bertindak menegur anaknya itu.

Teguran itu bukan sahaja tidak diendahkan sebaliknya membangkitkan kemarahan tertuduh lalu dia bertindak memukul bapanya menggunakan kerusi kayu.

Pengadu cuba menghalang kerusi tersebut mengguna tangannya bagaimanapun terkena bahagian kepala dan tangan kiri hingga patah.

Akibat kejadian mangsa terpaksa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebelum membuat laporan di Balai Polis Beserah.

Susulan laporan yang dibuat, tertuduh berjaya ditahan ketika sedang minum di sebuah restoran di Jalan Tun Ismail di sini kira-kira jam 10 malam, 5 September lalu.

Tertuduh dihadap ke mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment