Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Polis berusaha bawa pulang kenderaan curi

Polis berusaha bawa pulang kenderaan curi:

HATYAI, Selatan Thailand 12 Dis. - Malaysia akan berusaha membawa pulang kenderaan yang dikesan telah dicuri dan dibawa masuk ke Thailand, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin hari ini.
Katanya, sekumpulan pegawai telah dihantar ke Thailand bulan lepas bagi mengesan dan mengenal pasti kenderaan-kenderaan terbabit di beberapa lokasi.
Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas melawat Balai Polis Hatyai di sini hari ini, beliau berkata, setakat ini, kira-kira 100 kenderaan Malaysia telah dikesan di negara gajah putih itu.
Jumlah sebenar kenderaan Malaysia yang tersadai di Thailand tidak diketahui.
Mohd. Bakri yang mengetuai ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri tiba di sini semalam dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di wilayah Songkhla termasuk bagi mengadakan perbincangan dengan pihak polis di wilayah itu. Beliau turut melawat pejabat pesuruhjaya polis Wilayah 9 di Songkhla dan mendengar taklimat oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, Mejar Jeneral Polis Chinnatat Meesukh.
Ditanya sama ada Malaysia akan turut berusaha membawa balik rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand kerana pelbagai kesalahan, Mohd. Bakri berkata, undang-undang negara jiran perlu dihormati.
Difahamkan hampir 300 rakyat Malaysia kini berada di sebelas penjara di selatan Thailand kerana menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan, kebanyakannya membabitkan dadah. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121213/je_05/Polis-berusaha-bawa-pulang-kenderaan-curi#ixzz2Ew4SFlSP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment