SHAH ALAM - Polis bersedia mengadakan inkues bagi merungkai misteri kematian Willaim Yau Zen Zhong, 6, sekiranya diarahkan oleh Peguam Negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya sudah menghantar kertas siasatan kematian kanak-kanak itu kepada Pejabat Peguam Negara, semalam.

"Kita tunggu apa keputusan pendakwa raya berkaitan kematian William yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Jika perlukan perubahan atau tambah baik pada kertas siasatan, kita bersedia untuk memperbaikinya termasuk membuat inkues jika diperlukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

William dilaporkan hilang di Seksyen 7, Putra Height, Subang Jaya,16 Januari lalu.

Mayat kanak-kanak itu ditemui di Sungai Klang kira-kira jam 9 malam, lapan hari selepas kehilangannya.

Mayat ditemui dalam keadaan hampir mereput dan ibu bapanya mengesahkan mayat tersebut adalah Yau berdasarkan kesan parut di kepala serta pakaian yang dipakai.

Ujian DNA juga mengesahkan kanak-kanak tersebut adalah Yau.