Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Polis berkas tiga anggota kumpulan pecah rumah

Polis berkas tiga anggota kumpulan pecah rumah - Sabah & Sarawak - Sinar Harian:
KOTA KINABALU - Polis Sabah memberkas tiga anggota kumpulan pecah rumah, termasuk sepasang kekasih, yang aktif di sekitar bandar raya ini dalam satu serbuan di Taman Maya, Tanjung Aru di sini pada 5 Dis lepas.
   
Suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 32 tahun itu turut dipercayai menjadi buruan polis di Tawau, Johor dan Kuala Lumpur kerana kegiatan sama.
   
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu mula aktif sejak 23 Nov lepas, yang membabitkan jumlah kerugian RM180,000.
   
"Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah, termasuk rantai dan cincin emas, alat muzik, pelbagai jenis jam tangan, pelbagai barangan elektrik dan kereta pacuan empat roda yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan aktiviti mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini.
   
Beliau percaya modus operandi kumpulan itu ialah mengumpil pintu rumah sasaran sebelum melarikan barangan berharga dari kediaman terbabit menggunakan pacuan empat roda yang disewa.

Sementara itu, Jauteh berkata pihaknya kini mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Kota Kinabalu.
   
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
   
Dalam kes berasingan, Dikun berkata polis menahan lima lelaki termasuk penjaga premis judi siber berusia antara 18 hingga 35 tahun, dan merampas 67 set komputer serta 11 mesin slot selain wang tunai RM1,700 dalam operasi khas 'Ops Dadu' di sekitar bandar raya ini baru-baru ini.
   
Dikun berkata operasi yang bermula pada 4 Nov dan berakhir semalam itu membabitkan empat premis judi siber haram di sekitar Telipok, Kepayan, Tanjung Aru dan Jalan Gaya berdasarkan aduan serta maklumat orang awam.
   
"Polis memandang serius kegiatan judi siber ini, dan usaha berterusan kini dijalankan untuk membanteras kegiatan yang boleh meruntuhkan akhlak itu," katanya yang meminta kerjasama orang ramai bagi membantu menyalurkan maklumat berhubung kegiatan itu. - Bernama
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment