Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Penjenayah ganas, berbahaya ditembak - Polis

Penjenayah ganas, berbahaya ditembak - Polis:

Penjenayah ganas, berbahaya ditembak - Polis

SHUKRI Dahlan menunjukkan kelongsong bom yang dilempar ke arah polis oleh seorang pengedar dadah di Bukit Merah pada Isnin lalu ketika sidang akhbar di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/ROY AZIS ABD AZIZ
IPOH 12 Dis. - Pengedar dadah yang mati ditembak polis di Jalan Semanggol dekat sini kelmarin dikenal pasti sebagai 'Man Candu' iaitu ahli sindiket pengedaran dadah yang ganas dan berbahaya kerana menggunakan senjata api untuk melindungi kegiatan mereka.
Penjenayah berusia 42 tahun yang memiliki 13 rekod jenayah lampau itu menganggotai sindiket dadah yang menggunakan senjata api seperti pistol dan bom tangan diseludup dari negara jiran.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan polis mendapati penjenayah terbabit merupakan pengedar dadah tegar yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan senjata api jika menyedari kegiatannya terancam.
"Penjenayah ini merupakan pengedar dadah tegar. Sindiket ini pula cukup ganas dan berbahaya malah polis tidak menyangka suspek akan bertindak ganas dengan menggunakan bom tangan ketika cuba melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang pengedar dadah mati ditembak selepas gagal meloloskan diri dan melemparkan sebutir bom tangan ke arah polis yang mengejarnya sejauh 25 kilometer di Jalan Semanggol, dekat simpang masuk ke Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai.
Dalam kejadian berbalas tembakan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, sembilan anggota polis yang mengekori suspek tersebut bernasib baik apabila bom tangan yang dilempar tidak meletup.
Mohd. Shukri berkata, pemeriksaan lanjut polis menemu beberapa senjata termasuk dua pucuk pistol, 155 butir peluru hidup dan bekas bom tangan dalam kenderaan Honda Accord yang dinaiki suspek.
Berikutan penemuan itu, polis turut menyiasat kaitan lelaki tersebut dengan kegiatan jenayah lain.
"Kita juga menjumpai 216 gram dadah jenis heroin dan satu gram syabu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM4,240," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri memberitahu, polis tidak mempunyai pilihan selain menembak penjenayah tersebut yang bertindak agresif menembak sebelum melempar bom tangan ke arah pasukan polis.
Menurutnya, bom tangan yang dilemparkan lelaki tersebut tidak meletup mungkin disebabkan faktor teknikal.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121213/je_02/Penjenayah-ganas-berbahaya-ditembak---Polis#ixzz2Ew0Ltbrl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment