Search This Blog

Tuesday, December 11, 2012

Peniaga enggan serah RM30 dibelasah

myMetro | Peniaga enggan serah RM30 dibelasah:

KUALA LUMPUR: Kerana RM30, seorang lelaki yang juga peniaga berusia 42 tahun cedera dibelasah dua samseng dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dipukul dua lelaki berusia 20-an itu selepas enggan menyerahkan wang perlindungan yang diminta kumpulan terbabit.

Menurut sumber, mangsa yang meletakkan kenderaannya berhampiran sebuah bank di tempat kejadian untuk berniaga mendakwa didatangi dua lelaki tidak dikenalinya.
“Dua suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan RM30 kepada mereka.

“Mangsa yang enggan memberikan wang berkenaan kemudian dimaklumkan seorang daripada suspek bahawa kawasan terbabit dijaga mereka.

“Malah, seorang daripada suspek juga memaksa mangsa supaya memberikan wang berkenaan kepada mereka setiap hari sekiranya mahu berniaga di kawasan itu,” katanya.
Sumber berkata, keengganan mangsa menyerahkan wang berkenaan menyebabkan kumpulan terbabit berang sebelum memukul mangsa.

“Mangsa bukan saja ditumbuk sebaliknya disepak terajang dua suspek itu,” katanya.
Katanya, kumpulan terbabit kemudian mengarahkan mangsa meninggalkan kawasan berkenaan.

“Mangsa yang cedera di badan dan kepala membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee,” katanya.

Mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, namun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment