Search This Blog

Tuesday, December 4, 2012

Pengarah dituduh pecah amanah RM4.5 juta

myMetro | Pengarah dituduh pecah amanah RM4.5 juta:

PETALING JAYA : Seorang ahli lembaga pengarah syarikat pembekal ubatan hospital kerajaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah kira-kira RM4.5 juta, enam tahun lalu.
Tertuduh, Ismail Mohd Othman, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Megah, Syarikat Mahsuri Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah RM4,500,015, di Malayan Banking Bhd, G01, West Tower, Ground Floor, Wisma Consplant 1, nombor 2, Jalan SS 16/4, Subang Jaya pada 10 Februari 2006.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria menawarkan wang jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan pasport diserahkan pada mahkamah disebabkan jumlah terbabit yang tinggi.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Abd Malik Mokhtar dan Mohsin Abd Kader memohon mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan dan anak guamnya bersedia untuk menyerahkan pasport. “Selain itu, anak guam juga bersedia dengan syarat tambahan dikenakan untuk melapor diri di balai polis berhampiran dengan kawasan rumah,” katanya.
Hakim Yasmin Abd Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap satu hari bulan sehingga kes selesai selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment