Search This Blog

Tuesday, December 11, 2012

Penduduk guna pam racun padam kebakaran

Penduduk guna pam racun padam kebakaran - Utara - Sinar Harian:

Penduduk guna pam racun padam kebakaran
Penduduk bantu memadam kebakaran menggunakan mesin menyembur racun dan getah paip
Penduduk guna pam racun padam kebakaran
Penduduk melihat kitab yang terbakar
PENDANG - Tindakan pantas lebih 50 penduduk membantu memadam kebakaran dengan bertindak menggunakan pam racun, menyelamatkan lebih banyak rumah dari musnah dalam kebakaran di kawasan pengajian agama berkonsepkan pondok di Kampung Pokok Asam dekat Kubur Panjang di sini, semalam.
Kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.20 pagi itu memusnahkan empat pondok berstruktur kayu, manakala sebuah lagi pondok mengalami kerosakan pada bahagian dinding.
 
Difahamkan, penduduk sekitar dan penghuni pondok dikejutkan dengan beberapa letupan dipercayai dari tong gas, disusuli asap tebal sebelum kedengaran pukulan gendang sebagai siren kecemasan mengenai kebakaran itu.

Selain penggunaan pam racun yang diisi dengan air penduduk turut memotong getah saluran air dalam usaha mereka memadam kebakaran sementara menunggu pasukan bomba dan penyelamat tiba ke lokasi.
 
Api keluar dari tingkap
 
Seorang penghuni pondok, Wan Dayah Wan Taib, 83, berkata, ketika kejadian dia yang sedang berbual dengan seorang rakan di tepi pintu pondok terkejut apabila melihat api menerusi tingkap dari sebuah pondok berhadapan kediamannya.
 
“Rakan saya cuba menghampiri rumah terbabit bagi menyelamatkan apa-apa barang namun, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dari rumah terbabit.

“Sejurus terdengar bunyi meletup dan diikuti dengan asap tebal. Saya yang tidak mampu berjalan kemudian diselamatkan penduduk ke rumah berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
 
Pondok yang diasaskan seorang ulama, arwah Wan Sulong Wan Ghazali sekitar tahun 1940-an itu menempatkan kira-kira 50 pondok dengan hampir 100 penghuni dalam kalangan warga emas yang mendalami ilmu agama.

Seorang pemilik pondok, Mohd Tarmizi Mohd Ishak, 40, pula memberitahu, ketika kejadian dia tiada di rumah, manakala isterinya, Normawati Azizan, 36, serta empat anak berusia dua hingga 14 tahun berada di rumah mertua di
Padang Durian di sini.
 
Katanya, dia dikejutkan dengan kejadian itu apabila menerima panggilan daripada jiran dan bertindak pulang ke rumah segera. 

“Saya dapati, kira-kira 80 peratus rumah saya sudah dijilat api.

“Api dipercayai bermula dari rumah saya disyaki berpunca daripada litar pintas. Apa pun pihak berkuasa masih melakukan siasatan dan saya reda dengan kejadian ini dan syukur tiada mangsa cedera,” katanya.

Guna pam racun
 
Seorang lagi penduduk, Mohamad Abdullah, 31, pula berkata, penduduk tidak mampu berbuat apa-apa kecuali terpaksa menggunakan pam racun dan memotong getap paip bagi mengawal kebakaran.
 
“Api marak dengan begitu cepat serta keadaan menjadi kelam kabut. Ini kebakaran pertama sejak pondok ini dibuka datuknya lebih 70 tahun lalu,’’ katanya.
 
Penghuni pondok, Wan Salikin Wan Ahmad, 70, berkata, dia bertindak membantu penghuni pondok yang jatuh dengan mengangkatnya membawa ke rumah jiran.
 
“Tindakan pantas penduduk kampung yang datang selepas mendengar pukulan gendang mampu menyelamatkan lebih banyak lagi rumah memandangkan rumah di kawasan ini dibina berdekatan,” katanya.
 
Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zon Kota Setar, Mohd Ridzuan Mohd Nutjamudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi dan kenderaan pertama tiba 20 minit kemudian.
 
Katanya, kerja memadam kebakaran melibatkan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Jalan Tun Razak dan Guar Chempedak, Alor Setar dan api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit.
 
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,’’ katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment