Nyaris hilang nyawa
Nik Dir melihat keadaan bilik tidur Mohd Abrar selepas kejadian tanah runtuh itu berlaku.
Nyaris hilang nyawa
Awi (kanan) mengiringi Nik Dir (kiri, sekali) meninjau keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumahnya di Kampung Baru Atas Bukit.
MARANG – Seorang pemuda di Kampung Baru Atas Bukit di Rhu Rendang di sini, nyaris kehilangan nyawa apabila tanah di belakang rumah keluarganya runtuh dan merosakkan dinding bilik tidurnya dalam kejadian hujan lebat petang kelmarin.

Mohd Abrar Awi, 21, berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, tanah rumah jiran mereka menggelongsor ke bawah menyebabkan benteng simen konkrit rumah jiran mereka itu merempuh bahagian dinding dan tingkap bilik tidurnya hingga pecah.

“Semasa berehat dalam bilik, saya terdengar bunyi aneh seperti bunyi rekahan dari arah luar rumah dan apabila meninjau dari tingkap bilik tidur, saya dapati tanah di bahagian belakang rumah kami ini seperti mahu menggelongsor ke bawah.

“Saya kemudiannya terus berlari keluar dari bilik dan memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga lain agar segera keluar dari rumah ini untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah keluarganya itu di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan bapa bersama dua lagi ahli keluarga berada dalam rumah itu kemudiannya segera keluar dari rumah sebelum bapanya, Awi Abu Bakar, 50, meninjau semula keadaan runtuhan tanah itu dari arah luar rumah.

“Mujurlah saya tidak tidur ketika kejadian tanah runtuh itu berlaku dan menyedari perkara itu lebih awal sekali gus dapat menyelamatkan diri,” kata anak ketiga dari lima beradik itu.

Sementara itu, bapanya, Awi, berkata, tanah dan benteng konkrit rumah jiran mereka itu runtuh mungkin disebabkan keadaan hujan lebat yang berpanjangan dan menyebabkan tanah di situ tidak dapat bertahan sehingga menyebabkan ia runtuh.

“Sebaik kejadian, saya menghubungi pihak berkuasa sebelum Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku bersama kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah meninjau lokasi kejadian.