Search This Blog

Tuesday, December 11, 2012

Nampak api menerusi tingkap

myMetro | Nampak api menerusi tingkap:

PENDANG: “Selepas ternampak api di bahagian dapur rumah jiran menerusi tingkap, saya terus menjerit meminta tolong berikutan tidak mampu bergerak,” kata Wan Doyah Wan Taib, 83, yang terselamat dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Pondok Assam, di sini, semalam.
Wan Doyah yang tinggal kira-kira enam meter dari rumah jirannya diselamatkan penduduk kampung itu.

Dalam kebakaran jam 10 pagi itu, empat rumah musnah, tetapi tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan penghuni rumah terbabit tiada di rumah ketika kejadian itu.
Menurutnya, ketika kejadian itu, dia bersama saudaranya berborak di tangga rumahnya sebelum ternampak cahaya terang seakan-akan api di bahagian dapur rumah jirannya.

“Sebaik melihat cahaya terang itu, hati saya terdetik ia mungkin api dan tekaan saya benar apabila melihat api menerusi tingkap belakang rumah jiran dan ketika itu, api sudah mula marak. “Kejadian berlaku amat pantas, tidak sampai 10 minit, api menjulang tinggi dan penduduk kampung tidak sempat untuk membantu pemilik rumah terbabit bagi menyelamatkan harta benda mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Wan Doyah berkata, dia bersama beberapa penduduk hanya mampu melihat selain berdoa supaya tidak berlaku kecederaan dan menunggu bomba datang untuk memadamkan kebakaran.
Katanya, dia tetap bersyukur kerana kebakaran itu tidak membabitkan rumahnya kerana jika kediamannya musnah, dia tidak tahu untuk tinggal di mana namun tetap bersimpati dengan mangsa kebakaran itu.

Mangsa, Mohd Tarmizi Ishak, 40, berkata, dia mengetahui rumahnya musnah dijilat api selepas dihubungi penduduk kampung yang memaklumkan kejadian itu.
“Saya bergegas pulang untuk melihat keadaan rumah saya. Sebaik tiba, hampir 80 peratus sudah musnah. Tiada apa yang boleh diselamatkan selain menunggu api dipadamkan.

“Wang simpanan berjumlah RM2,000 turut musnah dan saya anggarkan kerugian lebih RM10,000 membabitkan wang simpanan, peralatan elektrik dan perabot rumah,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment