HULU SELANGOR - Empat individu termasuk dua wanita yang menjalankan kegiatan pertaruhan loteri awam tanpa lesen ditahan anggota polis Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam serbuan di tiga rumah teres di Kalumpang, Kuala Kubu Bahru, petang kelmarin.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintenden Rohan Shah Ahmad berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif di sekitar kawasan Ulu Bernam, Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru dalam tempoh setahun lalu.

“Serbuan pada jam 6 petang itu berjaya hasil pemantauan selama dua minggu dilakukan anggotanya diketuai oleh Asisten Superintendan Adzli Abu Shah,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan sindiket terbabit sedang menjalankan pertaruhan bernilai RM200,000.

“Turut dirampas sebuah komputer riba, lima telefon bimbit, 226 helai kertas dipercayai loteri awam haram dan dua mesin faks,” katanya.

Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk siasatan lanjut.