Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

‘McGyver’ larikan motor tumpas

myMetro | ‘McGyver’ larikan motor tumpas:

KUALA LUMPUR: Hanya berbekalkan pemutar skru, seorang lelaki berumur 27 tahun mampu memecahkan kekunci motosikal sebelum melarikan motosikal dalam tempoh lima minit.
Bagaimanapun, kelicikannya itu terbongkar semalam selepas lelaki itu berjaya ditahan di Taman Tenaga, Cheras oleh sepasukan anggota dari Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), ketika membuat Ops Samseng Jalan raya di sekitar ibu kota.

Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, sepasukan anggota U3K sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Bandar Tasik Permaisuri sebelum nampak sebuah motosikal Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati motosikal berkenaan menggunakan nombor plat palsu milik Proton Gen 2 dan pasukan berkenaan mengekori motosikal itu hingga ke kawasan Taman Tenaga.

“Kami nampak lelaki berkenaan meletakkan motosikal itu di tempat tersembunyi sebelum turun untuk makan.

“Ketika dia sedang lepak bersama rakannya, kami membuat tangkapan sebelum membawa lelaki itu bersama motosikal ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di tempat letak motosikal di sebuah pasar raya di Taman Connaught pada 15 November lalu.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai menggunakan pemutar skru untuk memecahkan kekunci dan dia masih menggunakan pemutar skru untuk menghidupkan enjin.
Beliau berkata, lelaki berkenaan turut memiliki tiga rekod samun kenderaan sejak tahun 2007.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment