Search This Blog

Monday, December 10, 2012

‘Mangsa terkapai-kapai dibawa arus deras’

myMetro | ‘Mangsa terkapai-kapai dibawa arus deras’:

BACHOK: “Saya sempat melihat mangsa tenggelam timbul sambil terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum akhirnya dibawa arus deras,” kata nelayan, Zawawi Che Min, 44, ketika melihat seorang lelaki yang akhirnya ditemui lemas selepas terjatuh dalam sungai di Kampung Tawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Khairul Azmi Zulkifli, 26, dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya apabila dikejar anggota polis bagi membantu siasatan kes jenayah.

Mayat anak ketiga daripada enam beradik itu ditemui tiga jam kemudian, kira-kira jam 12.10 tengah hari, 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk pengebumian.
Zawawi berkata, ketika kejadian dia sedang bersarapan di kedai makan berhampiran sebelum terdengar jeritan orang meminta pertolongan.

Katanya, dia berlari menuju ke arah sungai berhampiran untuk memberikan pertolongan, namun tidak mampu berbuat apa-apa.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana arus sungai begitu deras,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Fakharuddin Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Tawang jam 10.30 pagi.

“Kami kemudian bergegas ke tempat kejadian bersama 13 anggota termasuk lapan anggota Unit Skuba dari Kota Bharu.
“Mayat mangsa kemudian ditemui jam 12.10 tengah hari, kira-kira 200 meter dari lokasi tempat mangsa dipercayai terjatuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment