Search This Blog

Monday, December 10, 2012

Lori rempuh lori ketika lampu merah

myMetro | Lori rempuh lori ketika lampu merah:

DUNGUN: “Saya menekan hon sekuat hati apabila melihat lori itu tidak berhenti di simpang lampu isyarat,” kata Faz Fadir, 29, menceritakan detik cemas kemalangan membabitkan sebuah lori yang merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi di simpang lampu isyarat masuk Lebuh raya Pantai Timur (LPT) di Bukit Besi, semalam.
Kemalangan jam 2.30 petang itu menyebabkan pemandu lori, A Rahman Md Darus, 36, dan kelindan, Mohamad Asmawi Abdul Rauf, 36, kedua-duanya dari Kajang, Selangor tersepit dalam kenderaan.

Berikutan kejadian itu, A Rahman cedera manakala kelindannya hancur kaki kiri dan parah di dagu sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Faz berkata, ketika kejadian dia bersama isteri melalui LPT dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan dan berhenti di lampu isyarat itu untuk mengambil laluan jalan Jerangau-Jabur.

“Ketika berhenti, saya terpandang sebuah lori kecil berhenti di simpang kanan dan sebaik lampu bertukar hijau, saya terkejut apabila melihat sebuah lori dari arah Bukit Besi dipandu laju.

“Syukur saya dan isteri tidak cedera, tetapi pelik kenapa lori itu tetap laju sedangkan lampu isyarat ketika itu sudah lama merah,” katanya.
Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) bergegas ke tempat kejadian sebelum mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit manakala pemandu sebuah lagi lori tidak cedera.
Sementara itu, A Rahman berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Kajang selepas menghantar peralatan permainan kanak-kanak di sebuah taska di Ajil, Hulu Terengganu.

“Saya menekan brek, tetapi lori tetap meluncur mungkin akibat jalan licin,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment