Search This Blog

Wednesday, December 26, 2012

Lima lelaki, termasuk dua beradik maut kemalangan di Beluran



BELURAN - Lima lelaki, termasuk dua beradik, maut dalam satu kemalangan selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung sebuah lori ikan di Jalan Nangoh Paitan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP V. Sivanathan berkata mereka yang meninggal dunia ialah Roling Korang, 34, dan adiknya, Ugat Korang, 30, Jaffridin Ujin, 31, dan Albert Simon, 29, manakala identiti mangsa terakhir belum diketahui berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Kesemua mangsa menaiki kenderaan jenis Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kudat menuju ke pekan ini sebelum bertembung lori dengan muatan satu tan yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan ini, semua mangsa yang berada di dalam kereta mati serta-merta di tempat kejadian sementara pemandu lori mengalami cedera ringan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Kinabatangan Haris Mustapha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.50 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 12.30 malam kerana lokasinya yang jauh.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat dan pemandu lori yang berusia 34 tahun itu turut menerima rawatan di hospital yang sama.- Bernama

No comments:

Post a Comment