Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Lemas di Johor, jumpa di Indonesia

Kosmo! Online - Negara:



JENAZAH Anuar yang ditemui di Bengkalis, Sumatera selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA – Misteri kehilangan seorang peniaga minuman sejak dua minggu lalu terjawab apabila mayat lelaki itu ditemui terdampar di Pantai Indah Desa Selat Baru, Bengkalis, Sumatera, Indonesia pada Sabtu lalu oleh nelayan republik itu.
Anuar Abdullah, 44, dipercayai terjatuh ke dalam sebatang sungai berhampiran rumah rakannya di Kampung Pinang Balan, Batu Pahat, Johor dan dipercayai lemas sebelum mayatnya dihanyutkan hingga ke pantai di Bengkalis.
Lokasi mayat itu ditemui dengan tempat mangsa terjatuh adalah kira-kira 70 kilometer.
Mayat Anuar yang dibawa pulang dari Indonesia selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Banda Hilir di sini pada pukul 9 pagi semalam.
Isteri mangsa, Marliana Sirat, 36, dari Taman Nira, Batu Pahat ketika dihubungi berkata, suaminya itu keluar dari rumah pada pukul 9.30 pagi 28 November lalu untuk menghantar seorang anaknya ke rumah ibunya di Parit Guntung, Batu Pahat.
Bagaimanapun, suri rumah itu memberitahu, sejak itu, suaminya tidak pulang dan dia juga telah mencari arwah di merata-rata tempat sebelum menemui motosikal arwah di rumah rakannya di Kampung Pinang Balan.
“Rakan arwah memberitahu pada hari sebelum hilang, arwah dilihat berjalan menghala ke arah sungai,” katanya.
Marliana yang sedang hamil tujuh bulan berkata, apabila suaminya masih tidak pulang beberapa hari kemudian, dia melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Batu Bahat pada 2 Disember lalu.
“Saya kemudian diberitahu oleh anggota polis pada Sabtu lalu bahawa mayat arwah ditemui di Bengkalis, Sumatera.
“Tidak sangka mayat suami saya akan hanyut sejauh ini,” katanya sambil memberitahu jenazah suaminya akan dibawa ke kampung halaman di Machang, Kelantan sebelum dikebumikan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2Evv0LhLT 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment