Search This Blog

Monday, December 10, 2012

Lelaki ditahan miliki ‘lesen terbang’

myMetro | Lelaki ditahan miliki ‘lesen terbang’:

KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan lesen memandu palsu muncul kembali dengan penangkapan seorang lelaki berusia 22 tahun yang ditahan dalam ‘Ops Samseng Jalan Raya’ di Dataran Merdeka, kelmarin, selepas mendakwa membeli lesen terbang dengan bayaran RM1,500.
Dalam operasi pada jam 10 malam itu, lelaki berkenaan baru saja setahun menggunakan lesen palsu itu yang dibeli daripada seorang lelaki yang dikenali melalui rakannya dengan bayaran sebanyak RM1,500.

Lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar alat ganti kereta menyangka lesen terbang yang dibelinya kebal daripada dikesan pihak berkuasa berikutan terlepas dalam beberapa pemeriksaan jalan raya sebelum ini.
Namun, dia ditahan melalui operasi yang dijalankan sepasukan anggota dari Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Dataran Merdeka, ketika melepak bersama rakan-rakannya.

Jurucakap polis berkata, lelaki itu pernah gagal sekali dalam ujian komputer menyebabkannya mengambil keputusan untuk mendapatkan lesen berkenaan yang didakwa asli.

“Dalam tempoh seminggu lesen berkenaan siap dan boleh digunakan kerana ia seakan-akan lesen tulen yang dibuat pihak berkuasa,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sekiranya sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM5,000.

Harian Metro 1 Disember lalu melaporkan, seorang lelaki mengambil jalan mudah dengan membayar RM800 kepada ejen lesen terbang untuk memiliki lesen tanpa mengikuti ujian di JPJ.
Bagaimanapun, tindakannya itu membawa padah selepas setahun memiliki lesen terbang itu apabila rahsianya terbongkar ketika ditahan dalam Ops Khas Motosikal yang dijalankan JPJ Kuala Lumpur dan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Genting Klang.

Pada 25 Ogos lalu, seorang lelaki yang membeli lesen palsu dengan bayaran RM700 ditahan selepas tiga tahun menggunakan lesen itu melalui Ops Khas Motosikal sempena Ops Selamat di Jalan Genting Klang.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment