Search This Blog

Saturday, December 15, 2012

Lapan sekeluarga terselamat daripada rentung

Lapan sekeluarga terselamat daripada rentung - Melaka & NS - Sinar Harian:

Rentung selamat
Keadaan api yang masih marak membakar keseluruhan tingkat atas rumah mangsa.
ALOR GAJAH, Melaka - Kegembiraan sebuah keluarga yang baru pulang menziarahi rumah saudara bertukar menjadi mimpi buruk apabila mendapati rumah yang mereka diami hangus dalam kebakaran di Taman Seri Aman, Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, lapan sekeluarga terabit berada di rumah saudara mereka di Cheng, Melaka, selepas menghadiri majlis keraian sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

Menurut sumber, kebakaran itu disedari seorang remaja ketika melalui bahagian belakang rumah terbabit untuk menjemput seorang rakannya.

“Dia nampak ada api di belakang rumah terbabit tetapi masih belum marak. Namun sebaik sahaja dia menuju ke bahagian depan rumah berkenaan, api yang tadinya kecil sudah mula menyambar bahagian depan tingkat atas rumah.

“Tidak lama kemudian, penduduk sudah mula berkerumun di hadapan rumah mangsa tetapi gagal berbuat apa-apa kerana tingkat atas yang terbakar, selain rumah tersebut berkunci,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit bersama beberapa penduduk segera menghubungi jabatan bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan, selain memaklumkan kejadian kepada balai polis berdekatan.

“Sementara menunggu pihak bomba tiba, kedengaran dua kali bunyi letupan kuat dari arah dalam rumah berkenaan disusuli runtuhan bumbung, percikan api dan asap tebal mula memenuhi udara.

“Bertambah kecoh apabila sebaik sahaja anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, pili bomba tidak ditemui kerana dilindungi bahagian hadapan rumah penduduk.

“Penduduk terpaksa mengorek bahagian bawah tanah di hadapan rumah mangsa selepas ia dikesan menutupi kedudukan pili air bomba hingga melambatkan operasi memadam api yang sudah marak,” katanya.

Sementara itu, penghuni rumah berkenaan, Hiew See Kong, 44, berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya tiada di rumah kerana menghadiri majlis di rumah saudara di bandar Melaka dan keluar sejak jam 4.30
petang.

“Saya keluar bekerja di Alor Gajah jam 8 pagi dan mengetahui bahawa ahli keluarga lain keluar ke rumah saudara dan bernasib baik ketika kejadian tiada sesiapa di rumah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Melaka, Penguasa Bomba Luqman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.11 malam.

“Disebabkan rumah mangsa yang berkunci, bomba terpaksa membuka pintu menggunakan peralatan khas selain mengopak tingkap untuk memudahkan operasi memadam api," katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 9.48 malam dan kerugian dianggarkan RM200,000.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment