Diserbu ketika tidur
Warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian.
JOHOR BAHRU - Serbuan ke atas rumah pekerja sebuah kolam ternakan udang di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, semalam, berjaya menahan seramai 63 warga asing daripada 130 orang yang diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor.

Dalam serbuan Ops Sapu pada jam 3.45 pagi itu, 63 orang terpaksa ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Penolong Pengarah Imigresen negeri merangkap ketua ops, Masri Adul berkata, ketika serbuan dilakukan, kesemua warga asing sedang nyenyak tidur malah tidak menyedari kehadiran seramai 60 anggota operasi.

“Setibanya di lokasi, kebanyakan warga asing ini sedang nyenyak tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota ops. Tiada cubaan melarikan diri kerana kesemua warga asing ini dalam keadaan terpinga-pinga apabila terjaga dari tidur selepas dikejutkan oleh anggota ops.

“Kesemua yang diperiksa mengakui bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kolam ternakan udang di lokasi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Masri berkata, seramai 52 daripada 63 warga asing yang ditahan merupakan warganegara India diikuti tujuh rakyat Indonesia. dua warga Bangladesh dan dua rakyat Pakistan berusia antara 21 hingga 43 tahun.

“51 daripada warga asing ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa pas dan permit. empat warga asing ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki permit palsu dan lapan daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Pontian untuk siasatan lanjut jabatan,” katanya.