Search This Blog

Saturday, December 15, 2012

Kondominium stor dadah

myMetro | Kondominium stor dadah:

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor mematahkan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang apabila merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3.2 juta, kelmarin.
Syabu, Ecstacy, Eramin 5 dan ketamin itu dirampas selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an sebelum membawa kastam ke kondominium mewah di Jalan Dutamas Raya, Kuala Lumpur, yang dijadikan stor pembungkusan dadah.

Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Abdul Wahabi Abdullah berkata, hasil risikan, suspek ditahan di persimpangan Jalan Dutamas, Kuala Lumpur sewaktu memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima jam 1.30 tengah hari.
Wahabi berkata, ketika ditahan, pihaknya menemui 500 gram syabu yang dibungkus di dalam beg plastik dan diletakkan di dalam kereta berkenaan dipercayai untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, hasil soal siasat lanjut membawa kastam ke kondominium yang disewa suspek dan menemui syabu seberat 4.5 kilogram, pil Ecstacy (35,000 biji), Ecstacy dalam bentuk serbuk dan pil Eramin 5 (1,700 biji) yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta mengikut harga pasaran semasa. Turut dirampas wang RM11,500 dan 100 keping not 100 matawang Rusia iaitu Ruble.

Katanya, siasatan mendapati dadah itu hanya untuk pasaran tempatan.
“Kami tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dengan sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang sejak sebulan lalu berdasarkan pemantauan dan risikan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Saki baki anggota sindiket juga giat diburu bagi membolehkan kastam melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan,” katanya dalam sidang media di Pejabat KDRM Pelabuhan Utara, di sini, semalam.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Abdul Wahabi berkata, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai pengedaran dadah di kawasan masing-masing agar tindakan lanjut dapat dijalankan dan gejala pengedaran dadah dapat dikekang daripada merebak.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol KDRM di talian 1-800-88-8855 atau Bahagian Pencegahan Selangor di talian 03-317 92321 untuk menyalurkan maklumat.

Kastam memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan ganjaran berbentuk wang diberikan sekiranya maklumat yang diterima membawa kepada penahanan suspek atau merampas barangan yang dilarang.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment