Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

Kewaja fail saman fitnah

Kewaja fail saman fitnah - Semasa - Sinar Harian:

kewaja
Yahya menunjukkan keratan akhbar yang memfitnah Kewaja, semalam.
kewaja
Kewaja tidak dibenarkan beroperasi setelah diserbu oleh JKM WPKL sejak sebulan lalu.
KUALA LUMPUR - Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Noormah Abd Rauf dan Kerajaan Malaysia berikutan satu kenyataan fitnah melalui akhbar.

Saman fitnah tersebut difailkan melalui Tetuan Raja Riza & Associates berikutan kenyataan pada 12 November 2012 oleh Pengarah tersebut menerusi akhbar The Star bertajuk ‘Welfare Dept :Halfway house did nothing to register it’s shelter’.

Peguam Kewaja, Shahir Ab Razak berkata, tuntutan diambil disebabkan kenyataan tersebut tidak benar setelah mendakwa Kewaja tidak pernah mengambil apa-apa langkah untuk mendaftarkan pusat jagaan dengan pihak berkuasa.
Menurutnya, Kewaja turut difitnah kononnya tidak pernah memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengusahakan pusat jagaan.

“Berikutan itu, melalui tuntutan ini, Kewaja antaranya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan bagi kes ini.

“Pada masa sama, Kewaja juga menuntut pengarah tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan fitnah,” katanya semasa sidang media di pusat Kewaja, semalam.

Hadir sama, pasangan suami isteri yang mengendali Kewaja, Yahya Mohamed Yusof dan Ruzitah Bahrum.

Shahir berkata, Writ dan Penyataan Tuntutan tersebut kini dalam proses penyerahan dan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Januari 2013.

“Tuntutan memfailkan saman fitnah ini adalah bertujuan untuk membersihkan nama dan reputasi Kewaja serta pengusaha yang mana telah terjejas teruk dengan fitnah tersebut," katanya.

Sementara itu Yahya berkata, Kewaja kini ibarat gantung tidak bertali apabila sehingga sekarang masih belum dapat beroperasi sedangkan pihaknya menerima panggilan setiap hari membabitkan remaja dan wanita bermasalah yang mahu menyertai Kewaja.
“Saya sangat berharap Kewaja dibenarkan beroperasi secepat mungkin kerana bimbang dengan peningkatan pembuangan bayi sekiranya mereka yang memerlukan tidak dibantu,” katanya.

Sebelum ini, Kewaja yang beroperasi hampir 24 tahun diserbu JKM WP apabila didakwa pusat jagaan tersebut sesak dengan jumlah pelatih tidak dibenarkan dan aktiviti menjual bayi.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment